
BELAGA – Ahli Dewan Undangan Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, Penganjuran Jerayawara PRO-DR (Karnival Pendidikan & Kerjaya) – Project of Dreams Realized anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) dapat menyalurkan informasi yang relevan kepada golongan belia.
“Saya percaya jerayawara ini dapat membantu golongan pelajar khususnya di luar bandar Sarawak mencapai kerjaya impian mereka,” ujar Kennedy.
Tambah beliau, meningkatkan keupayaan dan kemahiran untuk menyesuaikan diri dengan permintaan pasaran pekerjaan semasa sangat diperlukan.
“Malah, jerayawara ini dapat memberi kesedaran mengenai peluang pekerjaan dalam industri STEM dan TVET,” ujar beliau lagi.
Sementara itu, Pengurus Kanan TEGAS Community Innovative Learning (TCIL) Fredick Kevin Buseli berkata penganjuran kali ini memberi peluang dan platform kepada pelajar di kawasan luar bandar untuk mendapatkan maklumat pendidikan, latihan dan pengeluaran dana.
“Jerayawara ini merupakan siri ke-9 sejak ia diadakan pada 2015 yang melibatkan 14 lokasi di seluruh Sarawak,” ujar beliau.
Tambah beliau, program ini bermula dari Lundu dan akan melabuhkan tirai di Lawas nanti.
Untuk makluman, lokasi Sungai Asap di Belaga merupakan lokasi yang ke-10.
Selain itu, Program Pro-DR Roadshow (Karnival Pendidikan & Kerjaya) – Project of Dreams Realized turut dimeriahkan dengan aktiviti sampingan seperti permainan dalam talian Mobile Legend, pertandingan karaoke, ceramah motivasi dan banyak lagi.
Turut hadir Pegawai Tadbir Daerah Kecil Sungai Asap Adella Talu, Wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Belaga Madelyne Nyipa, Ketua Polis Daerah Belaga DSP Jimbai Bala, ketua masyarakat, kaunselor, ketua jabatan, ketua kaum serta guru dan pelajar.



