Emart24 rancang lengkapkan sijil halal 84 cawangannya menjelang awal 2026

BANGI – Rangkaian kedai serbaneka Korea popular, emart24, merancang untuk mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) bagi lima cawangannya setiap bulan tahun ini sekaligus mengikuti jejak dua lagi cawangannya yang telah berjaya memperoleh sijil halal hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif emart24 Holdings Sdn Bhd, Vuitton Pang berkata, pihaknya kini komited untuk memastikan kesemua 84 buah cawangan kedai serbaneka miliknya mempunyai sijil halal menjelang awal 2026 nanti dengan jangkaan pemprolehan sijil halal akhir 2025 sebanyak 145 cawangan.

Bagaimanapun katanya, pihak emart24 sentiasa berusaha untuk memastikan rancangannya untuk memperoleh sijil halal bagi lima cawangannya setiap bulan dapat tercapai termasuk membuka 300 cawangan baharu terutamanya di Pantai Timur Malaysia.

“Dua cawangan emart24 iaitu cawangan Southville, e-kafé emart24 Vista Alam, Shah Alam telah berjaya mendapat sijil halal. Ia jelas bahawa memenuhi keperluan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan kami.

“Mendapatkan pensijilan halal adalah langkah penting dalam komitmen kami untuk menawarkan makanan Korea yang berkualiti tinggi dan mesra Muslim.

“Mengenai perancangan penambahan cawangan baharu, target untuk membuka lima cawangan sebulan sebenarnya sangat realistik, cawangan emart24 telah dipersiapkan untuk mendapat pensijilan halal dan ia akan sangat mudah bagi memastikan ia tercapai, kesemua cawangan emart24 telah bersedia dan memenuhi setiap kriteria pensijilan halal daripada JAKIM,” katanya.

Majlis Penyerahan sijil halal kepada e-kafé emart24 Southville Bangi telah disempurnakan oleh Pengerusi Akademi Halal Antarabangsa Malaysia (MIHA), Mohd Rizal Ismail, mewakili JAKIM.

Pang berkata, bagi memenuhi piawaian pensijilan halal yang tinggi, emart24 telah melaksanakan proses penilaian menyeluruh terhadap pembekal, protokol kebersihan yang rapi, serta kawalan kualiti yang teliti.

“Pembekal perlu mengemukakan dokumen untuk disemak oleh eksekutif halal, dengan butiran yang dimuat naik ke portal rasmi JAKIM malah keseluruhan proses ini telah memakan masa selama lima bulan sekaligus mencerminkan usaha berterusan emart24 untuk mengekalkan pematuhan dan ketelusan yang tinggi.

“Dengan proses dalaman dan prosedur operasi standard yang telah disusun rapi, kami bersedia untuk mendapatkan sijil halal bagi lima cawangan setiap bulan dan kami menjangkakan semua cawangan kami akan memperoleh sijil halal sepenuhnya menjelang tahun depan,” tambahnya.

Semasa majlis tersebut, ilmuan agama terkemuka, Datuk Dr Zahazan Mohamed, memuji komitmen teguh emart24 dalam memenuhi keperluan komuniti Muslim.

“Pensijilan halal ini mencerminkan dedikasi emart24 dalam mengekalkan standard tertinggi dari segi kualiti dan kebersihan, sambil menghormati kehendak pengguna Muslim.

“Saya yakin langkah ini akan memperkukuh kepercayaan dan hubungan erat yang telah dibina emart24 dengan pelanggan Muslimnya,” katanya.

Menjawab persoalan mengenai media sosial versus halal iaitu ada sesetengah premis makanan ketika ini yang masih diragui status halalnya namun ditularkan sehingga menarik minat orang Islam untuk datang makan tanpa mengesahkan status sebenar, Zahazan berpendapat bahawa orang Islam sepatutnya merujuk kepada portal pihak berkuasa agama terlebih dahulu.

“Sebenarnya kalau kita lihat dari hari ini keperluan kita adalah merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu. Sebab dalam Islam kita tidak boleh guna cara dengar-dengar sahaja ‘hearsay’ dengan apa yang ditularkan tanpa mengesahkan statusnya.

“Jadi kita mestilah merujuk kepada pihak berkuasa terlebih dahulu, JAKIM yang mempunyai standard tertentu dan ada SOP tertentu yang melayakkan sesuatu entiti ataupun sesuatu makanan, minuman dinilai sebagai halal. Jadi tanggungjawab pengguna sepatutnya merujuk kepada portal yang disediakan oleh JAKIM terlebih dahulu.

“Bukannya mendengar apa yang disampaikan oleh golongan-golongan tertentu yang mungkin mempunyai target tertentu dan sebagainya,” ujarnya.

Bersempena dengan pencapaian ini, emart24 akan mengadakan promosi istimewa di cawangan Southville pada hujung minggu ini, dengan menawarkan pelbagai tawaran eksklusif dan diskaun istimewa kepada pelanggan.

Dimiliki oleh Shinsegae Group, peruncit terbesar di Korea Selatan, emart24 merupakan jenama kedai serbaneka yang paling pesat berkembang di negara itu dengan lebih 7,000 cawangan dalam pelbagai format dan saiz. Malaysia menjadi pasaran luar negara pertama emart24 pada tahun 2021.

Inisiatif pensijilan halal ini juga sejajar dengan slogan jenama ‘Hello, Neighbour’ yang menekankan komitmen emart24 untuk menjadi kedai serbaneka yang mesra dan selesa untuk komuniti setempat.

Dengan lebih 80 cawangan di seluruh negara dan lebih 800,000 transaksi setiap bulan, emart24 semakin mendapat sambutan dengan pelbagai makanan ringan, minuman, dan hidangan sedia makan (ready-to-eat) Korea.

Di Malaysia bermula Jun 2021, setiap cawangan emart24 menawarkan suasana moden yang bergaya dengan pelbagai pilihan ‘street food’ Korea yang berpatutan, disediakan segar menggunakan ramuan halal.

Selain daripada pelbagai jenis makanan sedia makan (ready-to-eat) rasa Korea, terdapat juga pelbagai jenis snek, ramyun, ais krim, dan minuman pouch Korea termasuk jenama eksklusif emart24.

Related Posts

Fahmi seru semua pihak hayati titah Agong, junjung semangat Rukun Negara

KUALA LUMPUR – Semua pihak termasuk ahli politik perlu menghayati dan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mengingatkan rakyat mengenai kepentingan mengamalkan semangat serta nilai Rukun Negara dalam…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Platform media sosial wajib patuhi undang-undang Malaysia – Fahmi

KUALA LUMPUR – Semua platform media sosial yang beroperasi di Malaysia diwajibkan menghormati dan mematuhi undang-undang negara, khususnya yang melibatkan aspek keselamatan serta perlindungan kanak-kanak dalam persekitaran digital. Menteri Komunikasi,…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

PRN Johor: Medan ujian politik baharu Malaysia

PRN Johor: Medan ujian politik baharu Malaysia

Tampar cucu Nik Aziz, Azhar nafi dakwaan fitnah

Tampar cucu Nik Aziz, Azhar nafi dakwaan fitnah

Kundasang berpotensi sebagai hab benih bawang merah negara

Kundasang berpotensi sebagai hab benih bawang merah negara

UMS perluas potensi sagu sebagai makanan masa depan menerusi pendekatan psikologi dan STEM

UMS perluas potensi sagu sebagai makanan masa depan menerusi pendekatan psikologi dan STEM

Bengkel lilin aromaterapi sempena KAWAN Jerantut dapat sambutan

Bengkel lilin aromaterapi sempena KAWAN Jerantut dapat sambutan

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana

Lelaki OKU mental hilang sejak Sabtu, operasi SAR dilaksana