
PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau hanya menghormati umur bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi bukan pendapatnya.
Ahmad Zahid yang juga merupakan Timbalan Perdana Menteri, mengulas kenyataan Mahathir yang menyamakan UMNO bagaikan lalat dalam kerajaan.
“Saya menghormati umurnya tetapi saya tidak menghormati pendapatnya,” kata Ahmad Zahid.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina anjuran MCA di ibu negara pada Rabu (29 Jan).
Mahathir memberikan pandangan merujuk kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang enggan berdebat dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
“Yang berhormat ahli UMNO, mengikut Nga Kor Ming, UMNO hanya lalat. Nga Kor Ming adalah singa.
“Sebab takut singa, UMNO terima jadi lalat. Inilah UMNO sekarang. Tidak lebih dari lalat dalam kerajaan,” kata veteran politik yang hampir mencecah usia 100 tahun itu.
Terdahulu, Nga tempatan melabelkan Akmal sebagai ‘lalat’ apabila enggan melayan cabaran Akmal untuk berdebat berhubung isu kontroversi ‘sandwic ham’.
Ia susulan isu jualan sandwic ham oleh kedai KK Mart di kampus Universiti Malaya (UM) yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini.





