
PUTRAJAYA – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memberi jaminan akan menggerakkan libat urus berkaitan dua tuntutan yang dikemukan Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) di pekarangan kementeriannya, hari ini.
Mohamad yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata, beliau akan mengadakan pertemuan bersama Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).
“Berkenaan memorandum (PeSawah) ke PM, saya sebagai menteri akan ambil tanggungjawab turun ke KADA, MADA dan tempat-tempat lain yang berkaitan.
“Saya akan mengadakan libat urus berterusan dengan penanam padi,” katanya menerusi pesanan aplikasi WhatsApp kepada Malaysia Gazette, pada Isnin.
Terdahulu, Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSawah) pada membuat dua tuntutan kepada kerajaan termasuk meningkatkan harga lantai daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800 per tan.
PeSawah yang mewakili suara pesawah dan petani seluruh negara turut membantah Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Benih Tanaman yang berkemungkinan akan dibentangkan dalam sesi Parlimen akan datang.
Mengulas perkara itu, Pengerusi PeSawah, Abdul Rashid Yob berkata, harga lantai ketika ini sudah tidak relevan berikutan kenaikan kos berkaitan diesel dan benih padi.
“Kami menggesa kerajaan untuk menaikkan harga lantai padi daripada RM1,300 per tan kepada RM1,800. Harga lantai ketika ini sudah tidak relevan berikutan kenaikan kos berkaitan diesel dan benih padi.
“Kenaikan harga padi ini penting bagi memastikan kelangsungan hidup pesawah dan menjamin bekalan makanan negara.
“Harga lantai pada ketika ini telah ditetapkan pada tahun 2023 dan sudah ketinggalan zaman serta tidak lagi relevan dengan keadaan semasa berikutan kenaikan kos diesel dan benih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengetuai 10 wakil PeSawah menyerahkan memorandum kepada Pejabat Perdana Menteri (PMO).









