
TANGKAK – Tiga terkorban dalam sebuah kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 45 Jalan Muar- Segamat berhampiran Estate Gunung Ledang di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, insiden pada jam 9.55 malam itu dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Wira dipandu mangsa dikenali sebagai Zamri, 53, telah hilang kawalan dan merempuh sebatang tiang elektrik di pembahagi jalan.
“Akibat pelanggaran itu, kereta Proton Wira tersebut telah masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah kenderaan SUV jenis Toyota Harrier yang datang dari arah Tangkak menghala ke Jementah.
“Kemalangan ini mengakibatkan pemandu dan seorang penumpang lagi Proton Wira berusia 56 tahun dikenali sebagai Aris maut di tempat kejadian.
“Manakala penumpang kereta Toyota Harrier, Lim Yong Chia, 61, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, empat lagi mangsa masing-masing penumpang Proton Wira, pemandu dan penumpang SUV turut mengalami kecederaan.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) menyebabkan kematian kerana memandu secara melulu.
“Orang ramai mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Faszrulhaq Zulkapli di talian 012-2306943 bagi membantu siasatan,” katanya.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor berkata, sebuah jentera bersama sepuluh anggota bomba dari Balai Bomba Tangkak segera dikejarkan ke lokasi, sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan pada jam 10.08 malam.





