
KEUPAYAAN polis tidak lagi boleh bergantung kepada tenaga manusia sahaja, sebaliknya perlu dipertingkatkan dengan penambahbaikan penggunaan kecanggihan teknologi terkini.
Perkara itu ditegaskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata, kerajaan perlu melabur dalam kepolisan moden bagi meningkatkan tahap keselamatan negara.
Jelasnya, penggunaan teknologi dan pendekatan inovatif dalam kepolisan moden perlu dipertingkatkan bagi menangani jenayah yang semakin mencabar.
“Dalam hal ini, saya yakin bahawa kepolisan moden tidak lagi boleh bergantung semata-mata pada kehadiran fizikal, iaitu menempatkan anggota polis berseragam atau tidak berseragam di lokasi tertentu, tetapi harus lebih menumpukan kepada peralatan.
“Tindakan segera dalam mempercepatkan usaha pencegahan dan penguatkuasaan mesti diberi keutamaan. Terdapat negara maju yang memasang kamera litar tertutup (CCTV) berdefinisi tinggi setiap 50 meter di kawasan sensitif.
“Ini adalah sesuatu yang kerajaan perlu lakukan dengan melabur dalam kepolisan moden di negara kita,” katanya dalam sidang media.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Sidang Kemuncak dan Ekspo Keselamatan Antarabangsa Asia 2025 (AISSE 2025), di Putrajaya, hari ini.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Ahmad Zahid berkata, walaupun tahap keupayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Aseanapol (Pertubuhan Polis ASEAN) untuk seluruh rantau ASEAN diyakini, namun golongan penjenayah seperti penjenayah siber juga sedang meningkatkan kemampuan mereka.







