
KOTA KINABALU – Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah sekali lagi menegaskan pendiriannya untuk tidak berkompromi dengan rasuah.
Pengerusinya, Phoong Jin Zhe berkata, pihaknya menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mempercepatkan siasatan dan memaklumkan hasil siasatan kepada umum.
“Seperti saya katakan tadi kita tak berkompomi dengan rasuah, itu sangat jelas.
“Dalam kenyataan Setiausaha DAP Sabah dua bulan yang lalu selepas laporan media kita pun menerangkan, mengatakan pendirian bahawa kita tidak akan berkompomi dengan rasuah.
“Kami mahu SPRM selesaikan proses siasatan dan maklumkan kepada orang ramai apakah keputusan dan apakah hasil siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian, dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen DAPSY Sabah dan Wanita DAP Sabah di Sabah International Convention Centre (SICC) pada Ahad.
Sementera itu, Phoong berkata, antara persiapan DAP Sabah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN17) Sabah iaitu mengadakan jelajah untuk mendengar keluhan dan permasalahan rakyat.
“Sebagai parti yang datang daripada rakyat kami akan sentiasa bersama rakyat. Kita akan dengar apa pandangan daripada rakyat.
“Jadi kami mengambil peluang ini, Tahun Baru Cina untuk turun padang, buat jelajah bagi mendapatkan pandangan mereka,” katanya.
Tambahnya, DAP Sabah sentiasa mengambil kira pandangan rakyat dalam melakukan apa jua keputusan.
“Saya ingin mengulangi kedudukan kuasa itu bukan penting untuk DAP yang penting kita bersama dengan rakyat.
“Apa juga keputusan yang dibuat adalah berdasarkan aspirasi rakyat, itu yang sangat penting,” ujarnya.






