
ALOR SETAR – UMNO Kedah mohon kerajaan dan menteri sifarkan kesilapan-kesilapan kecil yang bakal membawa polemik yang lebih besar dan menyebabkan ada pihak mengambil kesempatan mengambarkan imej negatif.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, kesilapan teknikal ataupun apa jua alasan boleh membawa polemik yang besar kerana arena politik pada waktu sekarang banyak diwarnai oleh penunggang-penunggang politik yang tidak bertanggungjawab dan murahan.
Katanya, UMNO menganggap ketiadaan montaj masjid di dalam tayangan gimik Tahun Melawat Malaysia mungkin disifatkan sebagai satu kesilapan teknikal tanpa mempunyai sebarang agenda-agenda tersembunyi, namun kesilapan-kesilapan tersebut haruslah dielakkan pada masa akan datang.
“Menteri dan pentadbiran kementerian wajar lebih sensitif kerana kesilapan yang dianggap kecil ini mampu dimanipulasi dan ditunggang oleh golongan-golongan yang tidak bertanggungjawab.
“UMNO Kedah menyeru agar sebarang bentuk promosi dan tindakan seharusnya mengambil kira sensitiviti-sensitiviti tertentu berlandaskan apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” jelasnya.
Tambahnya lagi, UMNO Kedah bimbang budaya politik tunggang dan manipulasi murahan akan menjadi budaya berkekalan di dalam amalan politik di dalam negara ini.
Budaya ini sekiranya tidak dibendung akan terus menghakis prioriti utama iaitu politik berpaksikan polisi dan keperluan terbaik untuk rakyat dan negara.


