ARAU – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengorak langkah besar dalam bidang penyelidikan dengan menjalankan ujikaji termaju di Thailand Synchrotron National Lab.
Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, ujikaji tersebut bertujuan membangunkan bahan pateri mesra alam yang mampu memenuhi permintaan industri global.
“Kos ujian ini dibiayai sepenuhnya oleh Synchrotron Light Research Institute di bawah National Science and Technology Development Agency (NSTDA) Thailand.
“Hasil ujikaji ini dijangka mempercepatkan pengkomersialan produk elektrik dan elektronik yang lebih hijau, sejajar dengan trend teknologi lestari,” katanya di sini hari ini.
Tambahnya, pasukan penyelidik UniMAP turut menjalankan kajian bahan geopolimer yang berpotensi menggantikan simen konvensional dalam sektor pembinaan.
Langkah ini selari dengan Pelan Bahan Termaju Negara 2021-2030 yang menekankan inovasi dalam bahan termaju demi meningkatkan daya saing negara.
UniMAP terus komited sebagai peneraju inovasi, bukan sahaja untuk kemajuan teknologi tetapi juga mengangkat nama Malaysia di peringkat global.






