
KANGAR – Data bukan sekadar angka, ia kini menjadi kunci untuk merancang masa depan.
Justeru, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menggalakkan orang ramai menggunakan produk-produk percuma mereka sebagai panduan dalam perancangan peribadi dan profesional.
Pengarah DOSM Perlis, Hamka Ismail berkata, dapatan data yang dianalisis jabatan itu kini boleh diakses melalui pelbagai platform, termasuk sistem Kalkulator Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (MyPAKW).
“MyPKAW membolehkan pengguna mengetahui jumlah perbelanjaan wajar bagi sesuatu kawasan, menjadikannya alat berguna untuk keluarga yang merancang berpindah atau menyesuaikan belanjawan,” katanya.
Menurut beliau, produk itu dibangunkan berdasarkan data daripada profil penduduk, corak pendapatan, perbelanjaan isi rumah, serta harga barang dan perkhidmatan yang dikumpul menerusi pelbagai bancian DOSM.
Selain MyPKAW, Hamka berkata, orang ramai juga boleh mengakses data terbuka melalui portal OpenDOSM (open.dosm.gov.my) yang telah dinaik taraf sebagai sebahagian daripada infrastruktur data terbuka nasional.
“Portal ini direka untuk kegunaan pelbagai pihak termasuk individu, usahawan, dan penyelidik, dengan pelbagai data yang boleh membantu mereka membuat keputusan berasaskan fakta,” jelasnya.
Beliau turut mempelawa agensi kerajaan yang memerlukan panduan dalam carian data untuk mendapatkan bantuan teknikal daripada pihak DOSM.
Produk dan perkhidmatan yang ditawarkan secara percuma ini katanya, membuka peluang kepada masyarakat untuk memanfaatkan kekayaan data demi kesejahteraan dan pembangunan negara.







