
OUTLET Starbucks terakhir di Kelantan secara rasmi ditutup pada 30 November lalu.
Menurut Starbucks premis yang terletak di pasaraya KB Mall itu terpaksa ditutup kerana tidak mendapat sambutan selepas berdepan dengan kempen boikot sejak Oktober tahun lalu.
Susulan gerakan boikot yang berterusan, bilangan cawangan Starbucks yang ditutup di Malaysia meningkat daripada 25 kepada 50 cawangan.
Tinjauan di media sosial mendapati luahan ramai pekerja yang telah lama bekerja di cawangan itu, menjadi emosi, dan ada yang memutuskan untuk meletakkan jawatan kerana tidak mahu dipindahkan ke cawangan lain.
Ada pekerja yang tidak sanggup dipindahkan ke outlet yang berada di negeri lain kerana mereka mahu kekal berada di Kelantan.
Untuk rekod, Berjaya Food Bhd, syarikat yang mengendalikan jenama seperti Starbucks, Kenny Rogers Roasters, dan Paris Baguette di Malaysia serta Filipina, mencatatkan kerugian bersih RM33.68 juta bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2024 (1Q25).




