DUA beradik maut manakala seorang lagi cedera selepas kediaman mereka di Kampung Bukit Apit dekat Kuala Berang, Terengganu, dihempap tanah runtuh petang tadi.
Susulan insiden tanah runtuh dipercayai jam 4.30 petang, dua mangsa, Puteri Sajidah Azman, 16, dan adiknya Siti Fatimah, 13, masing-masing ditemukan jam 6.32 petang dan 6.59 petang.
Mangsa yang terselamat pula dikenali Uzair, 17, yang ditemukan jam 5.17 petang.
Terdahulu media melaporkan tiga mangsa dilaporkan terperangkap dalam kejadian tanah runtuh di Jalan Bukit Apit, Ajil, Terengganu.
Pasukan bomba menerima panggilan jam 4.59 petang sebelum pegawai dan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Berang dan Wakaf Tapai bergegas ke lokasi untuk kerja mencari dan menyelamat.
Sementara itu, jiran mangsa Danial Arabi, 36, memberitahu Berita Harian, dia dengar suara mangsa meminta tolong namun tidak dapat buat apa-apa kerana tidak tahu kedudukan mangsa ketika itu.
Kejadian tanah runtuh itu menghempap tiga rumah iaitu sebuah rumah didiami semua mangsa dan dua rumah yang sedang dalam pembinaan.






