
TAWAU – Seramai 46 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warganegara Indonesia yang ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen di Sandakan dihantar ke negara asal melalui Pelabuhan Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia, pada Jumaat.
Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata, proses pemindahan itu melibatkan tahanan berumur antara 18 hingga 74 tahun membabitkan 41 lelaki dan lima wanita.
“Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) dan 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
“Ini merupakan program pemindahan PATI siri ke-21 bagi kategori usir melalui laut bagi tahun 2024,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Menurutnya, seramai 2,651 tahanan PATI warganegara Indonesia direkodkan pulang ke negara asal melalui pengangkutan laut sekaligus menjadikan 7,927 warga asing berjaya dipindahkan ke negara asal sejak Januari hingga hari ini.
“Kesemua tahanan PATI ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang telah dilakukan.
“Kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan pengeluaran Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) daripada pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Malaysia,” katanya.






