
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol Razman Zakaria semalam, atas hantaran didakwa bersifat palsu dan jelik yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya.
MCMC menerusi kenyataan memaklumkan hantaran itu melibatkan beberapa isu sensitif berbaur perkauman termasuk isu kibaran bendera negara asing semasa perarakan sambutan ‘Malaysia Guang Ze Zun Wang Cultural Festival 2024’ baru-baru ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang melarang pembuatan dan penghantaran komen atau komunikasi antara lain, bersifat mengancam, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
“Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“MCMC mengingatkan masyarakat supaya sentiasa cakna dan berhati-hati sebelum memuat naik sebarang kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam terutamanya isu 3R (Raja, agama, kaum).
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada,” kata MCMC menerusi kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, himpunan kibar Jalur Gemilang di Dataran Menara Condong, Teluk Intan diambil tindakan susulan tiada permit dimohon pihak penganjur, bukannya atas kesalahan mengibarkan jalur gemilang di kawasan orang ramai.

Tegasnya, orang ramai diminta untuk tidak membuat spekulasi berkaitan isu ini sehingga mencetuskan kegusaran awam dan keperluan untuk mendapatkan sumber berita serta maklumat sahih daripada pihak berkuasa, selain tidak menerima bulat-bulat kandungan yang terdapat dalam media sosial.
“Saya ingin tegaskan kes ini disiasat mengikut Seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana berhimpun dan berucap di tempat awam tanpa pemakluman kepada pihak polis, bukannya atas kesalahan kibar bendera Jalur Gemilang di tempat awam.
“Lima ahli PAS termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sudah dirakam percakapan oleh polis pada jam 10 pagi kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 iaitu berhimpun dan berucap di tempat awam tanpa pemakluman kepada pihak polis.
“Setakat ini, sebanyak lapan laporan polis dibuat berhubung perhimpunan ini. Kertas siasatan sudah dilengkap dan akan dihantar kepada Bahagian Perundangan (D5) Bukit Aman untuk nasihat, seterusnya Pejabat Peguam Negara bagi tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, himpunan itu anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) serta dihadiri pimpinan PAS Perak dan penduduk setempat.
Siasatan awal mendapati Razman yang juga Ketua Pembangkang Perak memberi ucapan tanpa pembesar suara di hadapan kumpulan itu.
Kehadiran peserta itu dipercayai sebagai tindak balas terhadap insiden bendera China dikibarkan oleh peserta Sambutan Guan Gong Sedunia di lokasi sama, Khamis lalu.






