
TINDAKAN Barisan Nasional (BN) dalam kemelut politik membabitkan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan yang disifatkan sebagai cubaan mengambil alih kedudukan itu tanpa mengikut tertib sewajarnya adalah tidak beradab dan tidak menghormati institusi Raja Berperlembagaan.
Pakar undang-undang, Prof Emeritus Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata, perkembangan itu bukan sahaja mengelirukan rakyat, malah menimbulkan persoalan mengenai penghormatan terhadap kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam urusan pelantikan dan peletakan jawatan Menteri Besar.
“Pendapat saya, apa yang sedang berlaku ini sangatlah tidak sepatutnya berlaku. Sesuatu yang agak mengelirukan rakyat dan juga ada unsur-unsur tidak menghormati institusi raja,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP).
Beliau berkata, dalam sistem Raja Berperlembagaan, Yang di-Pertuan Besar mempunyai kuasa budi bicara yang luas dan fleksibel, khususnya dalam urusan pelantikan Menteri Besar.
Katanya, baginda juga mempunyai kuasa budi bicara untuk memperkenankan atau tidak memperkenankan peletakan jawatan Menteri Besar, justeru proses berkenaan perlu dilakukan dengan tertib dan menghormati kedudukan institusi istana.
“Ini kerana kita Raja Berperlembagaan dan Tuanku mempunyai budi bicara untuk berkenan melantik seorang Menteri Besar. Baginda juga mempunyai budi bicara serta hak untuk tidak berkenan atas peletakan jawatan.
“Jadi, jika Menteri Besar mahu meletakkan jawatan, beliau sendirilah yang perlu pergi menghadap Tuanku dan membawa surat peletakan jawatan kerana individu yang melantik beliau adalah Tuanku,” katanya.
Noor Aziah berkata, proses menghadap Yang di-Pertuan Besar sepatutnya dilakukan terlebih dahulu sebelum disusuli surat daripada parti yang mengemukakan nama calon pengganti untuk pertimbangan baginda.

Tambahnya, kebiasaannya parti yang memperoleh mandat rakyat akan mengemukakan dua atau tiga nama bagi membolehkan Yang di-Pertuan Besar membuat pilihan berdasarkan kuasa budi bicara yang dimiliki.
“Jarang sekali parti yang menang dalam pilihan raya negeri menghantar satu nama sahaja. Biasanya kita menghantar dua atau tiga nama untuk membolehkan Tuanku membuat pilihan. Sebab itu budi bicara baginda,” katanya.
Mengulas lanjut, Noor Aziah berkata, beliau kurang selesa dengan perkembangan yang berlaku ketika ini kerana proses berkenaan dilihat tidak mengutamakan peranan Yang di-Pertuan Besar dalam urusan pelantikan Menteri Besar.
Beliau turut membangkitkan proses pelantikan Datuk Ismail Lasim sebelum ini yang menyaksikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama beberapa pemimpin lain menghadap Yang di-Pertuan Besar bagi mengemukakan nama calon Menteri Besar.
“Tuanku telah melaksanakan tanggungjawab itu dengan melantik Datuk Ismail Lasim. Jadi, bagi saya, seperti mana beliau dilantik, seperti itulah juga jika beliau ingin meletakkan jawatan.
“Maka prosesnya ialah untuk beliau menghadap Tuanku dan memaklumkannya sendiri, tidak melalui wakil dan tidak hanya menyampaikan surat sahaja,” katanya.
Terdahulu, Istana Negeri Sembilan memaklumkan surat peletakan jawatan Ismail yang dihantar ke Istana Hinggap, Seremban pada 17 November lalu belum disahkan ketulenannya.
Istana turut menjelaskan bahawa berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, peletakan jawatan Menteri Besar hanya berkuat kuasa selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.



