
KUCHING – Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyambut baik laporan mengenai keputusan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) untuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, sambil menyifatkan langkah itu sebagai perkembangan yang wajar.
Beliau berkata, pada awalnya beliau hanya mengetahui perkara berkenaan menerusi satu hantaran di Facebook dan belum dapat memastikan kesahihan maklumat tersebut.
“Saya baru dapat makluman tadi. Sama ada apa yang saya lihat itu betul atau tidak, tapi sekiranya betul, ini adalah satu tindakan yang wajar,” katanya ketika ditemu bual media pada Khamis.
Abdul Karim berkata, Pas sebelum ini dilaporkan berhasrat bertanding di beberapa kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, termasuk kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu dan Bumiputera Islam.
Menurutnya, keputusan untuk tidak menyertai pertandingan berkenaan, sekiranya disahkan, merupakan perkembangan yang dialu-alukan terutama dalam konteks hubungan politik antara parti di peringkat negeri dengan Persekutuan.
Beliau turut menghargai pendirian UMNO yang sebelum ini mengumumkan tidak akan meletakkan calon pada PRN Sarawak.
“Dan juga UMNO. UMNO pun ada membuat kenyataan yang sama,” katanya.
Dalam pada itu, Abdul Karim berpandangan hubungan kerjasama antara parti politik perlu mengambil kira keadaan di peringkat negeri dan Persekutuan bagi mengelakkan percanggahan dalam pendekatan politik.
Beliau turut membangkitkan kebimbangan bahawa persaingan pilihan raya yang terlalu tegang boleh menjejaskan hubungan masyarakat setempat, khususnya apabila timbul pertelingkahan atau penyebaran fitnah sepanjang kempen.
Menurutnya, kesan perselisihan yang berlaku ketika pilihan raya mungkin berpanjangan dalam kalangan penduduk walaupun pemimpin politik dari luar kawasan telah meninggalkan tempat berkenaan selepas kempen berakhir.
“Yang akan tinggal bersama kita ialah saudara kita. Orang yang membuat fitnah, melaga-lagakan kita, mereka sudah tidak ada. Inilah yang kita tidak mahu,” katanya.
Sementara itu, Pas menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Khamis mengesahkan keputusan parti berkenaan untuk tidak meletakkan calon pada PRN Sarawak ke-13 selepas mengambil kira perkembangan politik semasa dan beberapa pertimbangan lain.
Sebelum ini, Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut mengumumkan bahawa gabungan berkenaan tidak akan bertanding di mana-mana kerusi DUN Sarawak.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon, 8 Disember bagi pengundian awal dan 12 Disember sebagai hari pengundian biasa.



