
PETALING JAYA – Pakatan Harapan (PH) menegaskan tidak pernah mengambil langkah untuk menggugurkan wakil UMNO daripada barisan Exco Kerajaan Negeri Selangor susulan cadangan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) yang dikaitkan dengan kerjasama antara kerajaan negeri dan blok pembangkang.
Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, dakwaan PH membelakangkan UMNO berhubung cadangan perjanjian itu adalah tidak benar.
Beliau berkata, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 16 November lalu turut menyatakan bahawa perbincangan antara kerajaan negeri dan blok pembangkang masih belum mencapai kata putus.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah mengambil sebarang langkah untuk menggugurkan wakil UMNO daripada barisan EXCO.
“PH menghormati UMNO sebagai rakan dalam pentadbiran negeri dan sebarang perkara yang menyentuh kerjasama ini wajar dibincangkan secara terus antara kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan media di Facebook pada Khamis.

Saifuddin berkata, kerajaan PH di Selangor kekal menghormati UMNO sebagai rakan dalam pentadbiran negeri dan komited memastikan hubungan kerjasama antara kedua-dua parti terus dipelihara.
Beliau turut menolak dakwaan bahawa PH membelakangkan UMNO berhubung cadangan CSA yang antara kandungannya dikatakan melibatkan penggantian lantikan politik termasuk kerusi Exco di Selangor.



