
SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan sudah menarik balik surat yang dikemukakan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, sekali gus menegaskan sokongan kepada Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau berkata, pengesahan itu dibuat memandangkan kandungan surat berkenaan sudah tersebar di media sosial dan secara jelas menerangkan pendiriannya.
“Surat itu pun sudah viral, anda (wartawan) pastinya sudah baca, jadi saya sahkan surat itu.
“The letter is self-explanatory (surat itu sudah menjelaskan dengan sendirinya).
“Surat itu, saya yakin salah satu (usaha) untuk menyelesaikan krisis yang sedang berlaku di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Sambutan Deepavali 2026 Peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.
Terdahulu, tular surat bertarikh 10 November yang memaklumkan Ismail bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) yang dibatalkan pelantikan mereka menarik balik kandungan surat persembahan maklum kepada Raja-Raja Melayu bertarikh 17 September lalu.
Menerusi surat itu, Ismail menjelaskan keputusan berkenaan dibuat dengan mengambil kira kenyataan media Raja-Raja Melayu bertarikh 14 Oktober serta Perintah Mahkamah Tinggi Seremban pada 5 Jun lalu yang mengekalkan status quo kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Langkah itu juga bertujuan menjunjung keluhuran Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959), memelihara tertib pemerintahan beraja serta memastikan pentadbiran negeri terus berjalan dalam keadaan aman dan teratur.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail berkata, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan 2027 masih menunggu perkenan Tuanku Muhriz.
Katanya, beliau sudah mengemukakan permohonan untuk menghadap baginda bagi mendapatkan pandangan dan perkenan berhubung perkara berkenaan.
“Setakat ini, kita belum mendapat perkenan Tuanku (perasmian sidang DUN), namun saya sudah mengemukakan permohonan untuk menghadap baginda.
“Begitu juga berhubung kedudukan barisan EXCO, memandangkan belum dapat menghadap Tuanku, jadi tiada sebarang perkembangan atau perbincangan mengenainya buat masa ini.
“Kita perlu mendapatkan pandangan Tuanku terlebih dahulu, jadi saya tidak dapat mengulas lanjut,” katanya.
Beliau turut menjelaskan tarikh persidangan DUN pada 26 November ini merupakan cadangan kerajaan negeri dan pelaksanaannya tertakluk kepada perkenan Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, katanya, pembentangan Belanjawan Negeri Sembilan pada 27 November perlu diselesaikan sebelum penghujung tahun selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.


