
KOTA KINABALU – Kuari di Kampung Mansiang, Menggatal dikenal pasti antara faktor yang dipercayai menyumbang kepada kejadian banjir kilat dari kawasan kampung berkenaan hingga ke Kampung Rampaian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir Mustapha Sakmud, pihaknya telah diberikan taklimat mengenai operasi kuari serta kaedah yang dilaksanakan syarikat bagi menghalang sisa kuari daripada mengalir ke sungai berhampiran.
“Jadi memang ada usaha daripada pihak kuari untuk buat takungan air (catchment).
“Cuma daripada pemerhatian awal saya, mungkin catchment itu perlu diperbesarkan masih tidak mencukupi sebab aliran air itu tidak mengikuti jalur sungai buatan yang dibuat.
“Apabila hujan lebat dengan purata hujan yang tinggi, segala sampah sarap juga mengalir mengikut laluan-laluan lain,” katanya kepada media selepas Lawatan Tapak ke Kuari Kg Mansiang, di sini, pada Sabtu.

Selain itu, beliau berkata, pihak konsultan yang dilantik syarikat perlu mengenal pasti lokasi takungan air yang lebih sesuai bagi memastikan sampah sarap dan sisa kuari dapat dikumpulkan sebelum mengalir ke sungai.
Dalam pada itu, Mustapha berkata, pihaknya turut meminta syarikat berkenaan menggunakan peruntukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu penduduk dan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) mendalamkan sungai yang dikenal pasti kritikal, terutama di Kg Mansiang.
Beliau berkata, pihak syarikat bersetuju melaksanakan kerja pengorekan dalam jangka pendek dengan memberi tumpuan kepada kawasan sungai yang cetek bagi melancarkan aliran air.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepanggar turut mencadangkan supaya agensi berkaitan termasuk JPS dan SEDCO meneliti model pengorekan Sungai Kadamaian untuk dipertimbangkan di kawasan Mansiang dan sekitarnya.
Menurutnya, model berkenaan membolehkan syarikat yang dilantik menjalankan kerja pengorekan, manakala hasil korekan dijadikan bahan produk untuk dijual bagi menampung kos operasi tanpa melibatkan perbelanjaan kerajaan.
Bagaimanapun, katanya, kesesuaian pelaksanaan model itu perlu diteliti terlebih dahulu sebelum dipertimbangkan oleh kerajaan negeri memandangkan perkara berkenaan berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Mustapha berkata, beliau akan memantau perkembangan setiap cadangan berkenaan dan berharap langkah jangka pendek serta jangka panjang itu dapat dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir di kampung-kampung sepanjang sungai berkenaan sehingga ke Kg Rampaian.
Terdahulu, tinjauan tersebut dilakukan bersama JPS, Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, pihak syarikat kuari serta wakil penduduk termasuk ketua kampung dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).



