
PUSA – Kemudahan ibadah penduduk Kampung Semarang bakal dipertingkat menerusi pembinaan masjid baharu bernilai RM3.5 juta yang mampu menampung kira-kira 400 jemaah dan dijangka mula digunakan Disember ini.
Pembinaan masjid yang kini hampir siap sepenuhnya itu bakal menyediakan ruang lebih selesa untuk pelaksanaan aktiviti keagamaan, pendidikan dan kemasyarakatan penduduk setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, Permit Menduduki (OP) bagi masjid berkenaan dijangka diperoleh pada penghujung November sebelum kemudahan itu dibuka kepada jemaah.

Menurutnya, aspek keselamatan dan pematuhan semua keperluan teknikal perlu dipastikan terlebih dahulu bagi menjamin keselesaan penduduk yang bakal menggunakan masjid tersebut.
“Alhamdulillah, kita bersyukur kerana pembinaan masjid baharu ini kini hampir siap sepenuhnya dan kita menjangkakan ia dapat digunakan pada Disember ini selepas proses pengeluaran OP diselesaikan.
“Justeru, saya berharap seluruh penduduk kampung dapat bersama-sama menjaga kemudahan ini supaya sentiasa berada dalam keadaan baik, selamat dan selesa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pembukaan Masjid Baharu Kampung Semarang, pada Jumaat.
Abdul Rahman berkata, masjid berkenaan bukan sekadar berfungsi sebagai tempat menunaikan ibadah, malah berpotensi menjadi pusat penyatuan masyarakat melalui pelbagai kegiatan yang memberikan manfaat kepada penduduk.
Menurutnya, pengimarahan masjid boleh diperkukuh menerusi penganjuran ceramah agama, program ilmu, sukan serta aktiviti kemasyarakatan bagi mengeratkan hubungan silaturahim.
Sementara itu, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli berkata, pembinaan masjid tersebut merupakan antara projek yang telah lama dinantikan penduduk Kampung Semarang.
Menurutnya, projek berkenaan mendapat peruntukan ketika pentadbiran Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem sebelum berjaya direalisasikan hasil kerjasama dan komitmen pelbagai pihak.
“Pembinaan masjid ini sememangnya sudah lama dinantikan penduduk kampung.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses pelaksanaannya, hasil kerjasama semua pihak, impian penduduk akhirnya menjadi kenyataan,” katanya.
Masjid baharu itu dibina bagi menggantikan masjid lama yang telah uzur dan terletak berhampiran Sungai Semarang.
Dengan kapasiti kira-kira 400 jemaah, kemudahan berkenaan diharap dapat memperkukuh pembangunan rohani masyarakat Islam serta menjadi pusat aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan bagi penduduk Kampung Semarang dan kawasan sekitarnya.
Turut hadir Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datuk Misnu Taha; Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS), Datuk Mual Suaud; Pegawai Daerah Pusa, Hamdan Katang serta Penghulu Kampung Spinang, Semarang dan Batang Maro, Musa Zin.



