
UMNO dan Barisan Nasional (BN) diminta berundur secara sukarela daripada Kerajaan MADANI sekiranya parti itu tidak lagi sehaluan dengan Kerajaan Perpaduan dan lebih selesa bekerjasama dengan Pas serta Perikatan Nasional (PN).
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, perlu menjelaskan pendirian politik partinya sebelum terus mendesak pihak lain bertanggungjawab terhadap janji politik masing-masing.
Beliau berkata, tindakan Ahmad Zahid yang lantang meminta Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, meletakkan jawatan sepatutnya turut disusuli kesediaan UMNO-BN menjelaskan tanggungjawab politik mereka dalam Kerajaan MADANI.
“Anthony Loke sudah menunaikan janji politiknya. Kini, giliran Zahid dan UMNO-BN pula membuktikan bahawa mereka masih mempunyai prinsip, pendirian dan tanggungjawab terhadap Kerajaan MADANI yang mereka sertai,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Mahfuz mendakwa UMNO-BN tidak sepatutnya terus menikmati kuasa dan kedudukan dalam Kerajaan Persekutuan, tetapi pada masa sama menjalinkan kerjasama politik dengan Pas dan PN yang menjadi blok pembangkang.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai konsistensi dan kejujuran politik UMNO-BN, khususnya apabila berdepan dengan Pakatan Harapan (PH) dalam gelanggang pilihan raya.
“Jangan mahu menjadi kerajaan di Putrajaya, tetapi menjadi pembangkang apabila berhadapan dengan PH di medan pilihan raya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan sama ada UMNO-BN mahu terus menikmati kedudukan dalam kerajaan, sedangkan pada masa sama membantu pihak pembangkang melemahkan pentadbiran yang disertainya.
Mahfuz menegaskan beliau tidak meminta Perdana Menteri memecat UMNO-BN daripada kerajaan, sebaliknya berpandangan parti itu wajar mengambil keputusan sendiri untuk berundur sekiranya sudah tidak lagi sehaluan dengan Kerajaan MADANI.
“Jika UMNO-BN merasakan mereka tidak lagi sehaluan dengan Kerajaan MADANI dan lebih selesa bersama Pas serta PN, mereka harus berundur secara sukarela dan bermaruah.
“Jangan tunggu dipecat kemudian berlakon menjadi mangsa. Jangan bakar rumah dari dalam, kemudian menyalahkan tuan rumah apabila rumah itu terbakar,” katanya.
Tambah beliau, politik bukan sekadar berkaitan jawatan dan kuasa, sebaliknya turut menuntut prinsip, kesetiaan serta keberanian untuk menerima akibat daripada keputusan yang dibuat.
Sehubungan itu, Mahfuz sekali lagi menggesa Ahmad Zahid dan UMNO-BN menjelaskan pendirian mereka serta menjawab persoalan mengenai tanggungjawab politik terhadap Kerajaan MADANI.
“Anthony Loke sudah menunaikan janji politiknya. Sekarang, Zahid dan UMNO-BN pula perlu menjawab. Bila mahu menunaikan tanggungjawab politik mereka?” katanya.

