PUTRAJAYA – Kerajaan akan mengenal pasti kelemahan dalam pentadbiran negara untuk memastikan penjawat awam dapat menjalankan tugas dengan lebih cekap.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau sentiasa memantau kelemahan pentadbiran dan mendapati perkhidmatan awam di negara ini masih tidak memuaskan.
“Ketua Setiausaha Negara baru dilantik dapat memberikan tekanan yang sangat kuat… saya sendiri memantau,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ke-78 di Petaling Jaya, hari ini.
Perdana Menteri berkata, pemantauan dilakukan antaranya di hospital, sekolah dan berkaitan permohonan pendaftaran serta lesen dari pihak berkuasa tempatan.
“Semua ini, bila kita dengar belum memuaskan walaupun ada perubahan, masih ada kebocoran… sebab itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) saban hari tangkap kerana rasuah itu ada.
“Bila rasuah, itu (menyebabkan) kos perniagaan meningkat,” katanya.
Sementara itu, Anwar turut menegaskan proses kelulusan bagi projek perumahan juga perlu disegerakan tanpa sebarang penangguhan hanya disebabkan bayaran tertentu.
Beliau berkata, ini adalah cabaran dan tanggungjawabnya bersama rakan dalam Jemaah Menteri untuk memastikan perubahan dalam pentadbiran kerajaan Malaysia.
“… keadaan sekarang bukan hendak sebut saya ketuai kerajaan tetapi pergi mana-mana orang melihat (kepada) kerajaan Malaysia sekarang (sudah) ada perubahan,” katanya.




