
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kini gering selepas disahkan dijangkiti virus Influenza A dan dinasihatkan berehat selama lima hingga tujuh hari bagi membolehkan baginda pulih sepenuhnya.
Istana Alam Shah menerusi kenyataan memaklumkan, jangkitan itu disahkan dua doktor peribadi baginda, Datuk Dr Anuar Onah dan Datuk Dr Tan Hui Meng, selepas Sultan Sharafuddin mengalami demam panas serta kelemahan anggota badan sejak pagi semalam.
Menurut kenyataan itu, baginda dipercayai dijangkiti virus berkenaan ketika menghadiri majlis keramaian dan berinteraksi dengan orang ramai, termasuk di kawasan terbuka.
Bagaimanapun, keadaan kesihatan baginda dilaporkan semakin pulih meskipun masih mengalami demam.
“Sehubungan itu, doktor yang merawat menasihatkan baginda supaya berehat dan tidak menghadiri sebarang majlis sepanjang tempoh lima hingga tujuh hari bagi membolehkan baginda pulih sepenuhnya,” menurut kenyataan itu.
Susulan perkembangan berkenaan, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor yang dijadualkan berlangsung esok, 1 November, ditangguhkan kepada 7 November ini.
Istana Alam Shah turut meminta semua pihak yang terlibat mengambil maklum mengenai perubahan tarikh berkenaan..
“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar ALLAH SWT mengurniakan kesembuhan segera kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor serta melimpahkan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada baginda,” menurut kenyataan itu.



