
KUCHING – Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang mempunyai 12 rekod jenayah lampau ditahan polis bagi membantu siasatan kes samun ragut di sekitar bandar raya ini, awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuching, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kira-kira jam 1.29 pagi.
Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek mempunyai 12 rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing turut menunjukkan keputusan positif dadah.
“Bertindak atas maklumat, polis turut merampas beberapa barangan kes berkaitan kejadian ragut yang dilaporkan berlaku di kawasan Demak pada 21 Oktober lalu.
“Suspek kini direman selama lima hari bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh berhubung beberapa kes samun ragut lain di daerah ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Alexson berkata, polis turut menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti kemungkinan penglibatan suspek dalam kes samun ragut lain yang dilaporkan di daerah Kuching.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana samun yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun, selain boleh dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian berkenaan supaya tampil membantu siasatan polis.







