
KOTA KINABALU – Pelancongan berasaskan kebudayaan berpotensi menjadi pemacu ekonomi komuniti luar bandar dengan seni pembuatan gong tradisional di Matunggong antara khazanah warisan yang mampu menarik pelancong tempatan dan antarabangsa.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kepelbagaian seni dan budaya etnik di Sabah merupakan aset bernilai yang perlu dipelihara serta dimanfaatkan bagi memperkukuh industri pelancongan tempatan.
“Kampung Sumangkap di Matunggong terkenal dengan seni pembuatan gong tradisional, sekali gus membuktikan kemahiran dan ketekunan pengusaha tempatan mampu memastikan khazanah budaya terus berkembang apabila dipelihara dengan bersungguh-sungguh.
“Kita perlu memastikan Kampung Sumangkap kekal sebagai pusat perusahaan pembuatan gong. Saya menyeru para pembuat gong dan semua pihak dalam rantaian industri alat muzik tradisional agar terus berinovasi,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Matunggong, Datuk Julita Majungki sempena Majlis Perasmian Pesta Gong Peringkat Negeri Sabah 2026 di Dewan Terbuka Pekan Baru Matunggong.
Menurutnya, usaha mengekalkan keunikan warisan itu perlu disertai penerokaan reka cipta moden bagi memenuhi cita rasa semasa dan membuka potensi untuk produk gong tradisional menembusi pasaran antarabangsa.
“Kejayaan usaha memelihara seni pembuatan gong memerlukan sokongan pelbagai pihak terhadap masyarakat setempat, manakala penglibatan golongan muda penting bagi memastikan kemahiran berkenaan terus dipelajari dan diwariskan.
“Pesta Gong bukan sekadar acara kebudayaan, sebaliknya platform untuk mengangkat khazanah tradisional Sabah, memperkenalkan keunikan budaya masyarakatnya serta memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang bangsa dan agama.
“Sejak turun-temurun, irama gong mengiringi pelbagai upacara adat dan perayaan hasil tuaian, selain menjadi medium yang menyatukan masyarakat daripada pelbagai latar belakang,” jelasnya.
Dalam pada itu katanya, penganjuran pesta itu turut memainkan peranan penting dalam memastikan seni gong terus dipelihara dan dimartabatkan agar tidak luput ditelan zaman, di samping memberi peluang kepada generasi muda mengenali, mempelajari dan menghargai warisan budaya mereka.
“Usaha berkenaan selaras dengan tema Pesta Gong tahun ini, iaitu ‘Gema Gong, Semarak Budaya’ yang melambangkan warisan, kebanggaan dan identiti masyarakat.
“Pesta Gong, seperti perayaan etnik lain mengingatkan rakyat bahawa perpaduan dalam kepelbagaian merupakan tunjang kekuatan Sabah, selain menjadi wadah untuk terus menyemarakkan kebudayaan dan memperkenalkan keunikan negeri ini.
“Marilah kita bersama-sama memastikan gema gong Matunggong terus berkumandang sebagai lambang khazanah, kebanggaan dan kesinambungan budaya masyarakat kita,” tambahnya.






