Malaysia perlu bijak menghadapi kecelaruan dunia baharu

MALAYSIA perlu memperkukuh daya tahan ekonomi, keselamatan dan hubungan strategik antarabangsa bagi menghadapi perubahan susunan kuasa dunia yang semakin tidak menentu akibat persaingan geopolitik antara negara kuasa besar.

Profesor Adjung di Institut Pengajian Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Khairul Anam Che Mentri berkata, perubahan tersebut menuntut Malaysia mengkaji semula pendekatan dasar luar supaya negara tidak terlalu bergantung kepada mana-mana kuasa besar, khususnya Amerika Syarikat (AS) dan China.

“Malaysia tidak mampu menentukan cita-cita Washington, Beijing atau Moscow, malah tidak boleh secara bersendirian mengawal perubahan sistem global.

“Namun, Malaysia masih mampu memperkukuh asas ekonomi domestik, memperteguh integrasi ASEAN dan mempelbagaikan hubungan strategik luarnya secara lebih agresif,” katanya kepada The Malaysia Press.

Khairul Anam berpandangan, Malaysia perlu memperluas konsep keselamatan negara yang selama ini banyak memberikan penekanan kepada aspek pertahanan dan ketenteraan dengan turut mengambil kira keselamatan ekonomi, teknologi, makanan serta tenaga.

Katanya, ketidakstabilan geopolitik khususnya di Asia Barat dan ketegangan di Selat Taiwan membuktikan bahawa konflik antarabangsa boleh memberikan kesan langsung kepada ekonomi Malaysia melalui gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos perdagangan dan ketidaktentuan pasaran tenaga.

Beliau turut menekankan kepentingan Malaysia memperkukuh hubungan dengan pelbagai negara termasuk AS, China, India, Jepun, Rusia, Eropah serta negara-negara Teluk bagi mengurangkan risiko kebergantungan terhadap satu kuasa atau pasaran.

Bagaimanapun, pendekatan tersebut perlu disesuaikan dengan kedudukan Malaysia sebagai sebuah kuasa pertengahan yang banyak bergantung kepada kredibiliti diplomatik, kekuatan institusi dan kerjasama serantau melalui ASEAN.

Menurutnya, kepusatan ASEAN juga tidak seharusnya kekal sebagai slogan diplomatik semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui kerjasama lebih berkesan dalam keselamatan tenaga, rantaian bekalan, tadbir urus digital, keselamatan maritim dan perdagangan.

Pada masa sama, usaha memperluas hubungan diplomatik antarabangsa perlu disusuli pembangunan industri tempatan, pemindahan teknologi, inovasi dan pembentukan tenaga kerja berkemahiran tinggi supaya manfaatnya dapat dirasai oleh ekonomi negara.

Pandangan beliau dimuatkan dalam artikel bertajuk Understanding, adapting to the new world disorder yang ditulis bersama Profesor Pengajian ASEAN UIAM merangkap Pengarah Institut Pengajian Antarabangsa dan ASEAN (IINTAS), Prof. Dr. Phar Kim Beng.

Khairul Anam dan Kim Beng

Artikel berkenaan yang diterbitkan dalam akhbar antarabangsa The Jakarta Post bertarikh 22 Oktober 2026 mengupas perubahan sistem antarabangsa susulan persaingan kuasa besar serta keperluan Malaysia membangunkan kebebasan strategik dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik.

Dalam artikel itu, kedua-dua ahli akademik berkenaan turut merujuk pandangan Menteri Hal Ehwal Luar India, S. Jaishankar yang menggesa negara-negara menilai semula hubungan dengan AS berikutan perubahan pendekatan Washington terhadap sistem antarabangsa.

Mereka berpandangan bahawa era globalisasi sebelum ini memberikan kelebihan kepada negara yang mampu menyesuaikan diri dengan keterbukaan perdagangan, namun dekad mendatang akan lebih mencabar apabila negara perlu menghadapi perpecahan sistem global sambil mempertahankan kebebasan strategik masing-masing.


Related Posts

Serangan terhadap guru disiar secara langsung, MCMC buka siasatan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menyiasat dakwaan platform media sosial gagal menghalang penstriman langsung insiden serangan terhadap seorang guru wanita di sebuah sekolah antarabangsa di Sarawak,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Pak Prabowo, kenapa belum respons kehadiran Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia?

JEREBU yang melanda negara-negara ASEAN telah berlarutan cukup lama. Hal ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan rakyat, malah turut menghambat aktiviti harian rakyat di pelbagai negara. Semuanya berpunca daripada kebakaran hutan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Serangan terhadap guru disiar secara langsung, MCMC buka siasatan

Serangan terhadap guru disiar secara langsung, MCMC buka siasatan

Pak Prabowo, kenapa belum respons kehadiran Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia?

Pak Prabowo, kenapa belum respons kehadiran Rundingan Tahunan Malaysia-Indonesia?

Conte sedia ke United tapi bersyarat

Conte sedia ke United tapi bersyarat

Larangan Waze demi keselamatan negara, data sulit – Anwar

Larangan Waze demi keselamatan negara, data sulit – Anwar

‘Baru ada akai!’ Tun Faisal sindir Pas langgar Perlembagaan PN

‘Baru ada akai!’ Tun Faisal sindir Pas langgar Perlembagaan PN

Gangguan TuJu perlu dijelaskan, pengguna boleh pilih aplikasi alternatif – Fahmi

Gangguan TuJu perlu dijelaskan, pengguna boleh pilih aplikasi alternatif – Fahmi