
KOTA KINABALU – Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi laluan Tuaran hingga Putatan yang merentasi kawasan Sepanggar hampir siap, dengan baki kerja yang sedang dipantau bagi memastikan projek itu dapat disiapkan menjelang hujung tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, pakej berkenaan disiapkan bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit.
“Saya terlibat dalam mesyuarat tindakan pelaksanaan pembangunan projek-projek yang berkaitan, terutama Pan Borneo ini dan sebenarnya kalau pakej yang merentasi antara Tuaran, Sepanggar dan juga Putatan, yang ini hampir siap.
“Maknanya tinggal sedikit sahaja lagilah,” katanya kepada media selepas merasmikan pada Program MADANI Kita (PMK) di Dewan Masyarakat Manggatal, di sini, pada Sabtu.
Mengulas mengenai kesesakan lalu lintas di Sepanggar, Mustapha berkata, keadaan itu turut berpunca daripada jalan raya sedia ada yang digunakan sebagai laluan harian oleh lori dan kebanyakan kenderaan.
“Keadaan ini juga menyebabkan kerosakan jalan di beberapa lokasi tertentu, terutama di kawasan Tebobon.
“Kita sudah minta pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan juga kontraktor, selagi pakej enam, tujuh dan lapan belum disiapkan, adalah menjadi tugas dan tanggungjawab pihak JKR dan kontraktor untuk menyelenggara jalan sedia ada,” tegasnya.
Tambah Mustapha, beliau turut bermesyuarat secara berkala bersama agensi berkaitan bagi memantau keadaan jalan dan memastikan kerja penyelenggaraan dilaksanakan.
“Keadaan jalan yang mudah rosak selepas hujan turut menjadi cabaran kerana laluan berkenaan digunakan setiap hari, menyebabkan kerosakan di lokasi tertentu sukar bertahan lama selepas dibaiki.
“Ada beberapa section lagi yang belum siap. Tapi yang ini kita memang monitor supaya dapat disiapkan dengan kadar segera,” ujarnya.







