
IGAN – Setiap pelajar mempunyai potensi untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik dan kehidupan sekiranya berusaha bersungguh-sungguh serta mempunyai keyakinan terhadap kemampuan diri.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi berkata, kejayaan bukan hanya milik golongan tertentu, sebaliknya boleh dicapai oleh setiap pelajar yang memiliki keazaman, disiplin dan kesungguhan dalam menuntut ilmu.
Menurutnya, pelajar perlu menjadikan setiap pencapaian sebagai dorongan untuk terus meningkatkan usaha dan menetapkan matlamat yang lebih tinggi dalam pendidikan.
“Jadikan kejayaan hari ini sebagai dorongan untuk melangkah lebih jauh.
“Teruskan berusaha dengan penuh keyakinan kerana setiap pelajar mempunyai potensi untuk mencipta kecemerlangan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Graduasi dan Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Igan, pada Jumaat.
Ahmad Johnie berkata, kejayaan pelajar turut bergantung kepada sokongan dan bimbingan berterusan daripada guru serta ibu bapa dalam membentuk sahsiah dan kecemerlangan akademik.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada barisan pendidik dan ibu bapa atas komitmen serta pengorbanan mereka dalam membantu pelajar mencapai kejayaan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) supaya mengekalkan fokus, menjaga disiplin serta membuat persediaan rapi menjelang peperiksaan masing-masing.
Menurutnya, kesungguhan dalam membuat persediaan penting bagi membolehkan pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih yakin dan mencapai keputusan yang membanggakan keluarga serta sekolah.
Majlis berkenaan menyaksikan seramai 118 calon peperiksaan diraikan, melibatkan 95 calon SPM dan 23 calon STPM.






