
KUCHING – Penglibatan pemimpin muda yang membawa idea segar dan pendekatan baharu perlu terus diperkukuh bagi memastikan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) kekal relevan dalam memperjuangkan pembangunan generasi muda di negeri ini.
Presiden Saberkas, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, gabungan pemimpin berpengalaman dan generasi muda dalam barisan kepimpinan baharu sesi 2026 hingga 2029 diharap mampu memperkukuh hala tuju pertubuhan itu selaras dengan aspirasi Sarawak Maju 2030.
Menurutnya, kepimpinan baharu Saberkas perlu memanfaatkan pengalaman pemimpin terdahulu di samping memberikan ruang kepada generasi muda menyumbangkan idea dan inspirasi dalam memajukan pertubuhan.
“Harapan saya, semoga Saberkas akan datang ini, terus maju jaya dan cemerlang dengan adanya gabungan pemimpin berpengalaman dan pemimpin muda yang lebih segar dengan pelbagai idea, serta inspirasi yang baik khasnya dalam mendepani Sarawak Maju 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Saberkas Sarawak Ke-61 di The Everly Lhesson Hotel, pada Khamis.
Abdul Karim berkata, mesyuarat berkenaan merupakan yang pertama bagi Jawatankuasa Tertinggi Saberkas sesi 2026 hingga 2029 selepas pemilihan pada Mesyuarat Agung Tritahunan (TGM) Ke-18 di Sibu pada 8 hingga 10 Ogos lalu.
Menurutnya, pelantikan ahli jawatankuasa tambahan turut dilaksanakan bagi melengkapkan barisan kepimpinan baharu selaras dengan peruntukan Perlembagaan Saberkas.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan barisan kepimpinan supaya sentiasa mengutamakan kepentingan pertubuhan berbanding kepentingan peribadi dalam melaksanakan amanah yang diberikan.
“Pemimpin Saberkas hendaklah meletakkan kepentingan Saberkas lebih atas daripada kepentingan diri sendiri, dalam memastikan Saberkas terus dipimpin oleh pemimpin yang benar-benar komited, ikhlas dan berjiwa Saberkas,” katanya.
Abdul Karim berkata, Saberkas turut menunjukkan penglibatan aktif dalam pembangunan belia menerusi pelaksanaan 66 program sepanjang Julai hingga September 2026.
Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 43 program merupakan anjuran Saberkas, manakala 23 lagi dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan kementerian, jabatan, agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Antara program yang disertai Saberkas ialah Majlis Perundingan Belia Negara peringkat negeri dan kebangsaan serta Persidangan Integriti Sukan Kebangsaan Sarawak 2026.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada barisan Jawatankuasa Tertinggi Saberkas sesi 2023 hingga 2026 serta kakitangan Ibu Pejabat Saberkas atas komitmen mereka dalam menjayakan pelbagai program pertubuhan.
Abdul Karim berharap gabungan kepimpinan baharu itu dapat meneruskan kecemerlangan Saberkas serta memperkukuh peranannya dalam pembangunan generasi muda Sarawak.




