PUTRAJAYA – Malaysia akan memantau perkembangan tindakan perundangan yang diambil Indonesia terhadap syarikat yang disyaki mempunyai kaitan dengan kebakaran hutan dan tanah di republik itu, namun setakat ini tiada bukti kukuh mengaitkan syarikat Malaysia sebagai punca kebakaran.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, hasil kajian dan risikan yang dijalankan setakat ini tidak menunjukkan penglibatan syarikat Malaysia dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, kebakaran yang berlaku di luar kawasan operasi sesebuah syarikat berkemungkinan merebak ke kawasan terbabit sebelum pihak syarikat mengambil tindakan memadamkan api.
“Setakat ini, kita belum mengetahui sekiranya ada syarikat Malaysia yang terlibat. Namun, berdasarkan kenyataan rasmi Menteri Perladangan dan Komoditi, kajian dan risikan kita menunjukkan tiada syarikat Malaysia yang terlibat.
“Namun, jika dikatakan kebakaran itu berpunca atau dimulakan oleh syarikat Malaysia, setakat ini belum ada bukti yang kukuh,” katanya pada sidang media Libat Urus Berhubung Situasi Jerebu, di sini, hari ini.
Beliau menjawab pertanyaan sama ada Malaysia akan mengambil tindakan perundangan seperti Singapura terhadap syarikat yang disyaki terbabit dalam aktiviti pembakaran di Indonesia.
Pada 16 Oktober lalu, Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, tiada syarikat perladangan kelapa sawit Malaysia dikenal pasti terbabit dalam aktiviti pembakaran terbuka di Indonesia.
Beliau berkata, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad, turut diminta mengadakan sesi libat urus dengan syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di republik itu.
Mengulas lanjut, Arthur berkata, Malaysia beberapa kali mengadakan perbincangan dengan Menteri Lingkungan Hidup Indonesia bagi menyampaikan kebimbangan berhubung kebakaran hutan dan tanah yang berlaku di negara berkenaan.
Katanya, Malaysia turut mengemukakan tawaran rasmi untuk menyalurkan bantuan berupa aset dan tenaga kerja bagi membantu memadamkan kebakaran itu.
“Tawaran itu telah dibawa ke peringkat Perdana Menteri, yang turut berhubung dengan Presiden Indonesia bagi menyampaikan tawaran bantuan sama.
“Tawaran itu sekali lagi disampaikan secara lisan ketika lawatan rasmi Timbalan Perdana Menteri ke Indonesia beberapa minggu lepas,” katanya.
Beliau berkata, Indonesia bersetuju menerima tawaran berkenaan dan Malaysia kini menyelaraskan bantuan itu sementara menunggu kebenaran untuk memasuki negara berkenaan sekiranya diperlukan.






