
KUALA LUMPUR – Lebih 7.6 juta rekod pengguna aplikasi navigasi Waze didakwa ditawarkan untuk dijual di pasaran web gelap oleh penjenayah siber, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan data peribadi pengguna.
Laporan syarikat keselamatan siber, ClearPhish, mendedahkan pangkalan data berkenaan dipercayai mengandungi maklumat sensitif termasuk nama pengguna, pengecam unik pengguna, data lokasi sistem kedudukan sejagat (GPS) serta sejarah perjalanan.
Menurut laporan itu, data berkenaan diiklankan untuk dijual oleh individu yang mendakwa telah mencurinya daripada sistem berkaitan.
Sekiranya kesahihan data itu dapat disahkan, maklumat berkenaan berpotensi disalahgunakan untuk pelbagai kegiatan jenayah siber, termasuk menghendap individu, mengenal pasti rutin perjalanan harian serta merancang serangan bersasar.
“Jika kesahihan data dapat dibuktikan, maklumat itu berpotensi dieksploitasi untuk pelbagai tujuan berniat jahat, termasuk menghendap individu, mengenal pasti rutin perjalanan serta merancang serangan bersasar,” menurut laporan itu.
Laporan berkenaan turut menyentuh isu keselamatan siber yang pernah dikaitkan dengan Waze sebelum ini.
Penyelidik keselamatan siber, Peter Gasper, sebelum ini dilaporkan menemui kelemahan pada antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) yang berpotensi dieksploitasi bagi menjejaki pergerakan pengguna secara masa nyata.
Walaupun Google dilaporkan telah membaiki beberapa kelemahan berkenaan, dakwaan terbaharu itu kembali mencetuskan persoalan mengenai tahap keselamatan sistem Waze.
Menurut ClearPhish, akses kepada data GPS masa nyata dan pengecam unik pengguna boleh menimbulkan risiko serius sekiranya maklumat berkenaan jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab.
Maklumat itu berpotensi digunakan untuk menjejaki pergerakan seseorang, memantau corak perjalanan serta menyamar sebagai individu tertentu bagi melaksanakan kegiatan berniat jahat.
Bagaimanapun, dakwaan kebocoran berkenaan perlu disahkan bagi menentukan kesahihan data yang ditawarkan serta sama ada maklumat tersebut benar-benar berasal daripada sistem Waze.





