
KANGAR – Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah wajar melepaskan jawatannya secara sukarela sekiranya berpegang kepada prinsip ‘gentleman‘ atau lelaki budiman susulan penggantungan keahliannya dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Pengerusi Bersatu Perlis, Izizam Ibrahim berkata, tindakan itu sewajarnya diambil Abu Bakar selepas Lembaga Disiplin Bersatu memutuskan untuk menggantung keahliannya selama dua penggal pemilihan parti.
Bagaimanapun, beliau berkata, sebarang tindakan lanjut berhubung kedudukan Abu Bakar sebagai Menteri Besar masih bergantung kepada arahan kepemimpinan Bersatu Pusat.
“Tetapi semua itu saya tunggu arahan (Bersatu) Pusat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Izizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi berkata, Abu Bakar masih mempunyai peluang untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan penggantungan berkenaan dalam tempoh 14 hari dari tarikh notis dikeluarkan.
Terdahulu, beliau mengesahkan penggantungan keahlian Abu Bakar selepas notis tindakan disiplin terhadap Menteri Besar itu tular menerusi aplikasi WhatsApp.
Berdasarkan notis bertarikh 14 Oktober lalu, Lembaga Disiplin Bersatu yang bersidang sehari sebelumnya memutuskan untuk menggantung hak keahlian Abu Bakar selama dua penggal pemilihan parti.
Keputusan itu dibuat susulan pelanggaran Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli parti berkenaan.
Susulan penggantungan tersebut, Abu Bakar yang juga ADUN Kuala Perlis dilucutkan daripada semua jawatan disandang dalam Bersatu selain dilarang mengeluarkan kenyataan atas nama parti sepanjang tempoh penggantungan.
Bagaimanapun, penggantungan keahlian parti itu tidak secara automatik menyebabkan Abu Bakar kehilangan jawatan Menteri Besar, manakala kedudukannya sebagai peneraju pentadbiran negeri masih bergantung kepada sokongan majoriti ADUN.




