
PASIR MAS – Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah mencederakan seorang anggota polis menggunakan parang di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, pada 17 Oktober lalu.
Muhammad Syahid Che Mat, 30, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulkpli Abdullah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan parah terhadap Koperal Mohd Afiq Amran, 37, menggunakan sebilah parang kira-kira pukul 1.35 petang di tepi jalan Kampung Lalang Pepuyu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na’ilah Harizan, memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam berikutan perbuatan tertuduh menggunakan senjata berbahaya terhadap anggota polis yang sedang menjalankan tugas.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan bermula dari tarikh tangkapan pada 17 Oktober lalu.
Dalam kejadian itu, anggota polis berkenaan dilaporkan mengalami kecederaan parah termasuk keretakan pada tangan kiri selepas dilibas dengan parang oleh suspek.
Gambar: Utusan





