
KUCHING – Sebanyak RM427 juta telah dibelanjakan menerusi pelaksanaan Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS), sekali gus memanfaatkan 823,073 penerima di seluruh negeri setakat September 2026.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jumlah berkenaan merupakan sebahagian daripada keseluruhan peruntukan RM680 juta yang diluluskan kerajaan Sarawak bagi pelaksanaan bantuan itu sepanjang tahun ini.
Menurutnya, SKAS kekal sebagai antara inisiatif kerajaan negeri dalam membantu golongan yang layak menghadapi cabaran kos sara hidup, khususnya bagi mendapatkan barangan keperluan asas.
“SKAS terus menjadi sebahagian penting daripada usaha kita menangani cabaran kos sara hidup dengan menyediakan bantuan kewangan bersasar kepada isi rumah yang layak bagi pembelian barangan keperluan asas,” katanya merangkap merangkap Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu II Sarawak.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Rabu.
Uggah berkata, baki peruntukan bantuan berkenaan dijadualkan untuk disalurkan pada November ini bagi meneruskan sokongan kepada penerima yang layak.
Menurutnya, pelaksanaan SKAS mencerminkan usaha berterusan kerajaan Sarawak memberikan bantuan bersasar kepada rakyat dalam menghadapi tekanan perbelanjaan harian.
Untuk rekod, peruntukan SKAS 2026 telah ditingkatkan kepada RM680 juta dengan kadar bantuan RM1,100 bagi isi rumah yang layak, RM600 kepada warga emas dan RM375 bagi individu bujang.
Bantuan berkenaan disalurkan secara berperingkat menerusi S Pay Global bagi membolehkan penerima menggunakannya untuk membeli barangan keperluan asas.
Pelaksanaan bantuan itu merupakan sebahagian daripada langkah kerajaan Sarawak membantu meringankan beban kewangan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang layak.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak




