
SETIAUSAHA Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh menuntut Datuk Seri Mukhriz Mahathir menarik balik dakwaan yang mengaitkan parti itu dengan keputusan pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS).
Fuziah berkata, slaid yang dikongsikan Mukhriz menerusi akaun Instagram dan Threads miliknya tidak pernah dibentangkan dalam mana-mana kongres atau konvensyen PKR, mahupun disediakan oleh mana-mana pihak dalam parti itu.
Beliau turut menegaskan program yang berlangsung di Melaka pada 15 dan 16 Ogos 2026 ialah Kongres Nasional PKR 2026, bukannya konvensyen seperti yang didakwa Mukhriz.
“Sekiranya slaid tersebut benar-benar pernah dibentangkan seperti yang didakwa, sudah tentu terdapat rekod, rakaman atau laporan media yang boleh dijadikan bukti.
“Berdasarkan semakan kami, slaid tersebut pertama kali dimuat naik menerusi akaun media sosial menggunakan nama Arman Ashaari pada 24 September lalu di laman Facebook.

“Saya amat kesal dengan tindakan Mukhriz Mahathir yang menyebarkan slaid tersebut tanpa terlebih dahulu memastikan kesahihannya.
“Saya menganggap tindakan menggunakan slaid yang tidak pernah dibentangkan itu untuk mengaitkan Parti Keadilan Rakyat dengan keputusan RoS terhadap Perikatan Nasional hari ini sebagai satu fitnah terhadap Keadilan” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Fuziah menegaskan aduan yang membawa kepada tindakan RoS terhadap PN merupakan isu membabitkan parti komponen dalam gabungan itu sendiri dan PKR tidak terlibat dalam aduan berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menuntut Mukhriz menarik balik dakwaan tersebut serta memohon maaf secara terbuka kepada PKR kerana menyebarkan bahan yang didakwa mengaitkan parti itu dengan keputusan RoS.








