
KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang (RUU) Entiti Milik Kerajaan bagi memperketat kawal selia, tatakelola dan pengurusan kewangan badan serta agensi kerajaan, dengan sasaran untuk dibentangkan dan diluluskan di Dewan Rakyat tahun ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penggubalan undang-undang itu penting bagi memastikan semua badan dan agensi kerajaan, termasuk entiti berkaitan Bumiputera, mematuhi peraturan lebih ketat bagi mengelakkan ketidakaturan yang boleh mengakibatkan kerugian berbilion ringgit.
“Insya-Allah akan membentangkan rang undang-undang badan (entiti) milik kerajaan ini untuk kawal selia supaya peraturan itu lebih kemas.
“Jadi mudah-mudahan kita dapat luluskan tahun ini juga supaya semua agensi kerajaan tertakluk kepada peraturan yang lebih ketat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan dan Kementerian Kewangan (MOF) untuk memperketat prosedur kewangan, khususnya berkaitan kelulusan pelaburan berskala besar oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Anwar berkata, kerajaan berharap undang-undang baharu itu dapat memperkukuh akauntabiliti badan dan agensi kerajaan, selain memastikan pengurusan aset serta dana awam dilaksanakan berdasarkan tatakelola yang lebih ketat.

Mengulas kelemahan dalam proses usaha wajar berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) di Jakarta, Indonesia, beliau berkata, perkara itu antara lain dipengaruhi kecenderungan mengikuti trend pelaburan antarabangsa serta kebergantungan kepada institusi besar seperti SoftBank.
Menurutnya, meskipun proses usaha wajar dan penelitian oleh jawatankuasa pelaburan sebelum sesuatu cadangan dibawa ke peringkat lembaga KWAP dilaksanakan secara teratur dan ketat, kelemahan masih berlaku dalam kes berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan mengambil iktibar daripada kejadian itu dan akan memperketat peraturan sedia ada bagi memastikan keputusan pelaburan menggunakan wang awam dibuat dengan lebih teliti, tanpa bergantung sepenuhnya kepada keputusan atau kecenderungan pelabur antarabangsa.
“Dalam menjaga amanah wang rakyat, harus ada beberapa proses yang lebih ketat lagi. Walaupun saya lihat secara terus terang prosesnya ketat, cuma dalam kes ini mereka merasakan oleh kerana bergantung kepada SoftBank, tidak mungkin mereka melabur dengan begitu cuai.
“Tetapi kenyataannya begitu… mengharapkan beberapa agensi dan institusi antarabangsa dari Jepun dan Eropah untuk memberikan panduan kepada kita tidak semestinya betul,” katanya.

