
KUCHING – Sebanyak 412,114 pengunjung direkodkan di 20 muzium aktif, termasuk kubu dan galeri di seluruh Sarawak bagi tempoh Januari hingga September 2026, meningkat 11.16 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pencapaian itu mencerminkan perkembangan positif sektor permuziuman negeri dalam memperluas landskap kebudayaan serta memelihara khazanah warisan Sarawak.
Menurutnya, Jabatan Muzium Sarawak terus memainkan peranan penting dalam mengurus dan mempromosikan institusi warisan sebagai pusat pendidikan, kebudayaan dan tarikan pelancongan.
“Jabatan Muzium menguruskan sebanyak 20 buah muzium aktif, termasuk kubu dan galeri di seluruh Sarawak.
“Muzium, kubu dan galeri ini telah merekodkan seramai 412,114 pengunjung dari Januari hingga September 2026, iaitu peningkatan sebanyak 11.16 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, pada Selasa.
Abdul Karim berkata, Muzium Budaya Borneo terus menjadi antara tarikan utama pelancongan negeri apabila merekodkan kira-kira 1.7 juta pengunjung sejak dibuka pada 2022.
Menurutnya, muzium berkenaan turut menerima kunjungan pelbagai tetamu kenamaan, termasuk duta asing serta pereka fesyen terkenal dari China, Guo Pei yang dikenali sebagai Queen of Couture.
Dalam pada itu, beliau berkata, Muzium Warisan Industri Limbungan Brooke turut mencatatkan sambutan menggalakkan dengan kehadiran seramai 88,766 pengunjung sejak dibuka pada 21 April lalu.
Menurutnya, perkembangan berkenaan memperlihatkan minat berterusan masyarakat dan pengunjung terhadap sejarah, kebudayaan serta warisan yang dipamerkan di institusi permuziuman negeri.
Pencapaian itu turut memperkukuh peranan muzium sebagai pusat pemeliharaan khazanah sejarah, pendidikan dan tarikan pelancongan di Sarawak.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak


