
KUCHING – Sarawak merekodkan kira-kira 6.83 juta carian penerbangan dari seluruh dunia bagi tempoh Januari hingga September 2026, sekali gus mencerminkan minat pelancong antarabangsa terhadap negeri ini sebagai destinasi pilihan.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, data berkenaan diperoleh menerusi Global Travel Technology (GTT) yang digunakan Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bagi memantau permintaan perjalanan dan prestasi destinasi pelancongan.
Menurutnya, penggunaan data GTT dan analisis data raya membolehkan STB menilai tahap kesalinghubungan penerbangan, merancang strategi pemasaran serta membandingkan prestasi Sarawak dengan destinasi pesaing.
“Berdasarkan data GTT, kira-kira 6.83 juta carian penerbangan dari seluruh dunia ke Sarawak direkodkan dari Januari hingga September 2026, menunjukkan tahap minat yang tinggi terhadap Sarawak sebagai destinasi pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Selasa.
Abdul Karim berkata, strategi pemasaran digital turut menunjukkan pencapaian memberangsangkan apabila STB merekodkan lebih 400 juta paparan menerusi pelbagai platform digital bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.
Menurutnya, pencapaian berkenaan disokong kerjasama strategik dengan platform pelancongan dan perjalanan antarabangsa termasuk Amadeus, Traveloka, Tripadvisor, Tripzilla, Ctrip, Qunar, Skyscanner dan Expedia.
“STB kini mengintegrasikan data GTT dan analisis data raya bagi memantau prestasi Sarawak sebagai destinasi pelancongan serta membandingkannya dengan destinasi pesaing.
“Papan pemuka data raya ini membolehkan kita memantau hubungan penerbangan, permintaan perjalanan, perancangan pasaran dan prestasi destinasi pelancongan,” katanya.
Untuk rekod, STB mencatatkan lebih 644 juta paparan menerusi pelbagai platform digital sepanjang 2025.
Dalam pada itu, Abdul Karim berkata, promosi pelancongan Sarawak menerusi media tradisional dan digital turut menjana Nilai Perhubungan Awam (PRV) kira-kira RM125.9 juta bagi tempoh Januari hingga September 2026.
Jumlah itu berbanding RM169.6 juta yang direkodkan sepanjang 2025.
Menurutnya, pendedahan media berkenaan turut disokong penerbitan serantau dan antarabangsa seperti Wanderlust Magazine, BBC Wildlife, National Geographic, Forbes Asia dan Travel + Leisure.
Beliau berkata, STB turut menerima 13 pengiktirafan utama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pada 2026, sekali gus mencerminkan usaha berterusan memperkukuh promosi serta kedudukan Sarawak dalam pasaran pelancongan global.


