
KETUA Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh disifatkan ibarat ‘harimau kertas’ apabila kelantangannya membangkitkan pelbagai isu politik didakwa tidak disusuli tindakan, terutama ketika berdepan isu besar membabitkan politik dan institusi negara.
Presiden Parti Perkasa Bumiputera Malaysia (Putra), Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, pendekatan Akmal berbeza dengan kepemimpinan Pemuda UMNO terdahulu yang bukan sahaja lantang bersuara, malah sanggup mengambil tindakan dan berdepan risiko bagi mempertahankan pendirian mereka.
“Yang Pemuda UMNO sekarang ni, kelantangan tapi lebih. Saya tengok, tak lebih sebagai harimau kertas,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) pada Selasa.
Menurut Ibrahim, kelantangan Pemuda UMNO ketika ini dilihat lebih menjurus kepada usaha meraih perhatian politik, khususnya menerusi isu berkaitan agenda Melayu, berbanding tindakan yang benar-benar memperlihatkan ketegasan pendirian.
“Kelantangan. Bercakap. Isu-isu yang ada kaitan yang boleh diberuntungkan. Sebab dia bawa agenda Melayu,” katanya.
Beliau yang juga bekas pemimpin Pemuda UMNO berkata, perbezaan paling ketara antara kepemimpinan terdahulu dengan sekarang ialah keberanian menterjemahkan kenyataan kepada tindakan.
“Dulu, Pemuda UMNO dulu lantang dan kita turun ke jalan raya. Dan berturun ke jalan raya, bukan main-main,” katanya.
Ibrahim turut membangkitkan isu berkaitan krisis istana di Negeri Sembilan, dengan mempersoalkan kelantangan Akmal yang sebelum ini sering membangkitkan isu berkaitan Melayu dan institusi raja.
“Termasuk isu krisis istana, dia tak. Dia diam pun. Dia hanya lantang, bercakap depan media. Itu saja,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan sedemikian boleh menyebabkan masyarakat mula mempersoalkan kredibiliti pemimpin berkenaan apabila kenyataan yang dibuat tidak diterjemahkan kepada tindakan.
Menurutnya, pemimpin yang sering mengeluarkan kenyataan keras perlu menunjukkan ketegasan melalui tindakan supaya pendirian mereka tidak dilihat sekadar retorik politik.
Ibrahim berkata, kegagalan menunaikan perkara yang pernah dijanjikan juga boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap seseorang pemimpin, terutama apabila kenyataan mengenai kesediaan meletakkan jawatan tidak disusuli tindakan.
“Dia bercakap sahaja, tak ada tindakan. Akhir sekali orang dah naik jemur. Sebab itu sekarang ini orang sudah tengok dia dan lain macam. Ada orang dah kritik, ada orang perli, ada orang tak percaya,” katanya.
Akmal pernah mengulas isu pembentukan kerajaan melalui kaedah ‘tebuk atap’ pada April lalu dengan menegaskan kepentingan menghormati mandat rakyat.
Bagaimanapun, kenyataan langsung beliau mengenai perkembangan khusus krisis Negeri Sembilan, termasuk pembatalan pelantikan 10 Exco pada September lalu dan kontroversi surat Menteri Besar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, perlu disahkan.
Pada 19 Oktober lalu, Akmal dilaporkan kalah dalam saman fitnah yang difailkan Teresa Kok berhubung kenyataannya mengenai cadangan pensijilan halal mandatori pada September 2024. Mahkamah Tinggi Melaka memerintahkan Akmal membayar RM250,000 sebagai ganti rugi am dan teruk serta RM50,000 kos, menjadikan jumlah keseluruhan RM300,000.

