
PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) membatalkan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) selepas penjelasan dan representasi yang dikemukakan gabungan itu didapati tidak dapat menyangkal asas pembatalan yang dinyatakan dalam notis terdahulu.
Menerusi kenyataan, RoS memaklumkan, keputusan itu dibuat selepas Pendaftar Pertubuhan meneliti keseluruhan dokumen dan penjelasan yang dikemukakan PN susulan notis bertarikh 22 September 2026.
Menurut jabatan itu, pihaknya menerima maklum balas daripada PN pada 12 Oktober lalu sebelum mendapati alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas pembatalan pendaftaran gabungan berkenaan.
“Alasan yang diberikan tidak dapat menyangkal asas-asas pembatalan pendaftaran sebagaimana yang dinyatakan dalam notis tersebut serta tidak memberikan justifikasi yang kukuh untuk mengekalkan pendaftaran pertubuhan berkenaan,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Terdahulu, kedudukan PN sebagai sebuah gabungan politik menerima notis bertarikh 22 September daripada RoS yang memberi tempoh 30 hari kepada Pengerusi PN untuk mengemukakan representasi.
Keratan sama turut mendakwa satu perintah bertulis bertarikh 23 September 2026 dikeluarkan bagi menggantung semua aktiviti dan penggunaan nama PN, selaras dengan Subseksyen 13(2) Akta Pertubuhan 1966 [Akta 832] berkuat kuasa serta-merta.
Hal itu berlaku ketika PN berdepan kemelut dalaman susulan aduan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kepada RoS berkaitan kedudukan parti itu dalam gabungan berkenaan.
RoS sebelum ini mengesahkan menerima aduan rasmi Bersatu pada 11 Ogos lalu antaranya berkaitan dakwaan parti itu tidak dilibatkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN pada 16 Julai dan isu status keanggotaannya dalam gabungan tersebut.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini turut meminta RoS membuat keputusan segera terhadap aduan yang dikemukakan parti itu, termasuk dakwaan lapan perkara yang didakwa dilanggar pimpinan PN.



