
KUALA LUMPUR – Jumlah penyaluran bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada penerima yang layak mencecah hampir RM11 bilion sehingga September 2026.
Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan sebanyak RM3.6 bilion telah disalurkan menerusi STR melalui tiga fasa pembayaran setakat bulan lalu.
Menurut kementerian itu, kerajaan memperuntukkan RM15 bilion bagi pelaksanaan STR dan SARA pada 2026 bagi memastikan bantuan berkenaan terus memberi manfaat kepada rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah dan kumpulan rentan.
“Tahun ini, hampir sembilan juta rakyat layak menerima SARA secara bulanan, manakala STR disalurkan setiap suku tahun kepada isi rumah dan warga emas yang memenuhi syarat kelayakan.

“Keberkesanan pelaksanaan STR dan SARA boleh dinilai berdasarkan beberapa aspek, termasuk liputan penerima, penggunaan bantuan, ketepatan sasaran serta keupayaan bantuan memenuhi keperluan asas,” menurut MoF dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen.
Kementerian itu menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berhubung keberkesanan peruntukan RM15 bilion bagi STR dan SARA berdasarkan perbelanjaan asas serta penyaluran bantuan kepada golongan berpendapatan rendah.
Mengulas penggunaan bantuan, MoF memaklumkan SARA bulanan merekodkan kadar penggunaan sebanyak 99.7 peratus setakat September 2026, dengan nilai transaksi berjumlah RM5.2 bilion.
Bagi program SARA Untuk Semua pula, lebih 20 juta rakyat telah menggunakan bantuan berkenaan, bersamaan 90 peratus daripada keseluruhan penerima, dengan nilai transaksi di pasaran tempatan hampir RM1.9 bilion.

