
KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang meneliti kesesuaian memperluas pelaksanaan pengesahan identiti elektronik (eKYC) dan pengesahan umur kepada platform permainan dalam talian seperti Roblox bagi menangani isu keselamatan pengguna, khususnya kanak-kanak bawah umur.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, penelitian itu turut mengambil kira risiko penyalahgunaan platform berkenaan oleh kumpulan pelampau, ekstremis dan pengganas.
Beliau berkata, hasil perbincangan dengan pihak Roblox sejak tahun lalu menunjukkan platform itu bersedia untuk bekerjasama, dengan aspek pengesahan identiti dan umur pengguna antara perkara yang perlu diberikan perhatian.
“Jadi, kita akan teliti kesesuaian untuk mengembangkan aspek eKYC dan pengesahan umur kepada platform seperti Roblox,” katanya, seperti dipetik berita tempatan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berhubung isu keselamatan platform berkenaan yang turut membabitkan pengguna kanak-kanak.

Menurut Fahmi, kerajaan menerusi agensi berkaitan, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) terus memantau platform yang berpotensi disalahgunakan oleh kumpulan terbabit.
Katanya, tindakan sewajarnya akan diambil oleh pihak berkuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sekiranya diperlukan.
“Kita akan ambil kira pelbagai aspek tetapi sekiranya ada tindakan pantas yang perlu dilaksanakan, itu sudah pasti akan diambil oleh pihak berkuasa,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata beliau akan membincangkan usaha pelaksanaan sekatan umur bagi pengguna media sosial bersama rakan sejawatnya di Indonesia sempena lawatan kerja ke negara itu bagi menghadiri Persidangan Dunia Ekonomi Kreatif (WCCE) 2026.
.

