
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan berangkat melancarkan buku, sampul surat hari pertama, setem dan syiling khas sempena sambutan Jubli Perak pemerintahan Baginda di Pustaka Raja Tun Uda, di sini pada Isnin.
Buku Menjulang Takhta: 25 Tahun Pemerintahan Sultan Selangor yang diterbitkan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) merakamkan sejarah pemerintahan Sultan Sharafuddin sejak Baginda menaiki takhta pada tahun 2001.
Penerbitan itu menjadi dokumentasi perjalanan pemerintahan Baginda sepanjang 25 tahun, sekali gus mengabadikan sejarah dan perkembangan institusi Kesultanan Selangor untuk rujukan generasi akan datang.
Sementara itu, setem khas dan sampul surat hari pertama keluaran Pos Malaysia menampilkan beberapa elemen penting yang melambangkan keagungan institusi diraja dan warisan negeri Selangor.
Antara visual yang diketengahkan ialah Balairung Seri, Istana Alam Shah, Tengkolok Balung Raja dan Keris Terapang Gabus, selain motif geometri serta Bunga Tanjung berkelopak sembilan yang mencerminkan keluhuran adat dan kedaulatan Kesultanan Selangor.
Dalam pada itu, Perbendaharaan Negeri Selangor turut mengeluarkan syiling khas sebagai tanda penghargaan sempena 25 tahun pemerintahan Baginda.
Pengeluaran syiling berkenaan turut melambangkan kemajuan, kestabilan dan kemakmuran negeri Selangor, di samping usaha memartabatkan warisan Kesultanan Selangor.
Pelancaran buku, setem dan syiling khas itu menjadi antara pengisian sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan Sharafuddin, selain mengabadikan sejarah, identiti dan warisan diraja Selangor untuk tatapan masyarakat serta generasi akan datang.
Keberangkatan Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.





