
KUCHING – Seramai 6,246 pelajar menerima tawaran menerusi Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) di empat institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak setakat 30 September 2026.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, jumlah itu mencerminkan perkembangan pelaksanaan inisiatif kerajaan negeri dalam memperluas akses pendidikan tinggi kepada anak Sarawak.
“Daripada jumlah tersebut, Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak mencatatkan bilangan tertinggi seramai 2,802 pelajar, diikuti Universiti Teknologi Sarawak (UTS) dengan 2,031 pelajar,” jelas beliau.
Sementara itu, Universiti Curtin Malaysia merekodkan 949 pelajar, manakala Kolej Universiti i-CATS mencatatkan 464 pelajar di bawah skim berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Isnin.
Roland berkata, pengambilan pelajar bagi 64 kursus yang diliputi FTES turut menunjukkan peningkatan sebanyak 128.5 peratus, daripada 1,528 pelajar pada 2025 kepada 3,491 pelajar pada 2026.
Menurutnya, peningkatan sebanyak 1,963 pelajar itu menunjukkan perkembangan positif dalam usaha memperluas peluang pendidikan tinggi, khususnya dalam bidang yang menyokong keperluan pembangunan ekonomi Sarawak.
“Kursus yang ditawarkan merangkumi pelbagai bidang yang menyokong keutamaan ekonomi strategik Sarawak, termasuk ekonomi hidrogen, pertanian jitu, pembangunan pusat data dan industri aeroangkasa,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan Sarawak turut menyediakan elaun tahunan sebanyak RM15,000 kepada pelajar yang layak daripada keluarga berpendapatan rendah bagi membantu menampung kos sara hidup serta penginapan sepanjang tempoh pengajian.
Menurut Roland, seramai 3,195 pelajar yang menerima tawaran FTES dikenal pasti layak mendapat elaun berkenaan.
”Pihak kementerian kekal komited meneruskan pelaksanaan FTES bagi memastikan anak Sarawak yang memenuhi syarat memperoleh akses kepada pendidikan tinggi berkualiti tanpa dibebani yuran pengajian,” katanya kagi.
Pelaksanaan skim itu turut menjadi antara usaha kerajaan negeri membangunkan modal insan berkemahiran tinggi bagi memenuhi keperluan tenaga kerja serta pembangunan ekonomi Sarawak pada masa hadapan.
Foto: Jabatan Penerangan Sarawak





