
PUTRAJAYA – Belanjawan 2027 tidak diselubungi ‘jerebu’ seperti didakwa segelintir pihak yang mengkritik tanpa meneliti angka dan data, sebaliknya dirangka secara teliti dengan mengambil kira pertumbuhan ekonomi serta pengurangan defisit fiskal negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penelitian terhadap kandungan belanjawan itu akan memperlihatkan usaha kerajaan mengembangkan ekonomi negara sambil memperkukuh kedudukan kewangan, meskipun berdepan pelbagai cabaran ekonomi global.
“Jerebu itu udara, tapi Belanjawan 2027 tak jerebu. Masalah tak baca. Kalau baca, jelas angka dan datanya. Dibuat dengan begitu teliti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan, pada Isnin.
Anwar berkata penelitian terhadap data belanjawan akan menunjukkan keupayaan kerajaan mengembangkan ekonomi sambil mengurangkan defisit fiskal, meskipun berdepan pelbagai cabaran ekonomi global.
Menurut beliau, pencapaian tersebut mencerminkan keberkesanan pengurusan ekonomi negara yang memerlukan kerjasama seluruh jentera kerajaan, bukan hanya bergantung kepada Menteri Kewangan.
“Umpamanya, cuba lihat, masih boleh kita kembangkan (ekonomi dari 2026 hingga 2027), defisit fiskal berkurang.
“Bayangkan, dalam teori ekonomi lazimnya, itu tidak boleh berlaku. Sebab apabila keadaan ekonomi terjejas, defisit itu tidak boleh berkurang. Tetapi kita mampu kerana pengurusan ekonomi, ini bukan soal menterinya saja, ini soal seluruh jentera kita,” katanya.
Tambahnya, kerajaan akan meneruskan kerangka Ekonomi MADANI bagi memastikan ekonomi negara kekal berdaya tahan, selain meningkatkan keyakinan rakyat dan pelabur terhadap hala tuju pembangunan negara.
Jumaat lalu, Perdana Menteri membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat yang memperuntukkan RM510 bilion, bagi mengangkat martabat dan kesejahteraan rakyat pada semua peringkat.
Bertemakan ‘Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’, Belanjawan 2027 menggariskan lapan lunas utama merangkumi komitmen untuk kehidupan rakyat lebih baik hingga ke agenda memperkukuh daya tahan dan masa depan negara.





