
PARIS – Presiden Perancis, Emmanuel Macron, berikrar memastikan pihak yang terlibat dalam keganasan dan kemusnahan harta benda di negara itu dipertanggungjawabkan susulan demonstrasi besar-besaran yang mencetus kekacauan selama dua hari.
Dalam ucapan yang disiarkan menerusi televisyen kepada rakyat pada Ahad (waktu tempatan), Macron menegaskan bahawa mereka yang bertindak memusnahkan harta benda, memecah masuk premis dan melakukan rompakan perlu menerima akibat daripada perbuatan masing-masing.
“Tiada apa-apa yang boleh dijadikan alasan bagi keganasan yang belum pernah berlaku sebelum ini,” katanya sambil menegaskan bahawa tuntutan sah para penunjuk perasaan perlu dibezakan daripada tindakan pihak yang mencetuskan kemusnahan.
Menurut Kementerian Dalam Negeri Perancis, seramai 2,397 orang ditahan pada Sabtu ketika demonstrasi bertukar ganasdi beberapa kawasan, manakala kira-kira 997 anggota keselamatan mengalami kecederaan.
Daripada jumlah itu, tujuh anggota dilaporkan mengalami kecederaan parah.
Di Paris, polis sekali lagi melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan renjatan bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang kembali berhimpun.
Sekurang-kurangnya 25 orang ditahan dalam demonstrasi berkenaan, kebanyakannya golongan muda.
Keganasan turut berterusan berhampiran Place de la République apabila kebakaran besar dilaporkan berlaku di sebuah jalan berhampiran kawasan berkenaan.
Beliau turut mengumumkan satu mesyuarat unit krisis akan diadakan pada Isnin bagi menyediakan bantuan segera kepada mereka yang sedang menghadapi kesukaran.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mengaitkan demonstrasi tersebut dengan isu imigresen dan menggesa Perancis menutup sempadannya.
Krisis berkenaan memberi tekanan kepada kerajaan Perancis untuk memulihkan ketenteraman awam, menangani tuntutan penunjuk perasaan serta memastikan keselamatan anggota penguat kuasa dan orang awam.
Semalam, Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri Malaysia) telah mengeluarkan nasihat rasmi yang menggesa rakyat Malaysia supaya menangguhkan perjalanan tidak penting ke Perancis susulan siri demonstrasi besar-besaran yang sedang berlaku di beberapa bandar utama di negara berkenaan.







