KUANTAN – Pakatan Harapan (PH) belum mencapai sebarang persetujuan konkrit berhubung kemungkinan kerjasama politik dengan parti lain bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, bagaimanapun, rundingan pembahagian kerusi antara tiga parti komponen PH, iaitu PKR, DAP dan Amanah telah dimuktamadkan.
Beliau berkata, PH dijangka bertanding di lebih 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan sembilan daripadanya diperuntukkan kepada PKR.
“Setakat ini, belum ada perkara konkrit berhubung kerjasama politik dengan parti lain. Rundingan pembahagian kerusi antara PKR, DAP dan Amanah telah selesai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menutup Program Akses Peruncitan 2026 di sini, hari ini.
Sementara itu, Fuziah yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, berkata Pengerusi PH merangkap Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengumumkan senarai calon gabungan itu pada 24 Oktober ini di Melaka.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 31 Oktober sebagai hari penamaan calon, 10 November bagi pengundian awal dan 14 November sebagai hari pengundian PRN Melaka.
PRN Melaka pada 2021 menyaksikan BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri, manakala PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.






