KUANTAN – Draf Rang Undang-Undang (RUU) e-Dagang baharu kini dalam dalam proses penambahbaikan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, ia akan dibentangkan ketika persidangan pertama Parlimen tahun hadapan.
“Draf RUU yang awal dah siap, tapi ketika ini ada sedikit penambahan dan akan tersedia, siap untuk dibentang pada mesyuarat yang pertama tahun 2027,” katanya, lapor Malaysia Gazette.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penutup Program Akses Peruncitan 2026 bagi Pantai Timur yang disertai 150 usahawan tempatan di sini, hari ini.
Jelasnya, ketika ini tiada perundangan khusus yang mengawal selia e-dagang, justeru KPDN berperanan sebagai perantara merundingkan penyelesaian bagi isu dihadapi bagi kedua-dua pihak usahawan dan platform itu.
RUU e-Dagang yang dicadangkan dalam Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh kerangka kawal selia industri perdagangan digital yang semakin berkembang, termasuk memastikan platform e-dagang beroperasi mengikut piawaian dan tanggungjawab ditetapkan.
“Semua rangkaian kedai-kedai runcit di bawah KPDN, maksudnya, apabila usahawan berurusan dengan KPDN, maka itu adalah pintu laluan untuk mereka berurusan dengan semua rangkaian peruncitan ini.
“KPDN bertanggungjawab sebagai pengantara bagi memastikan usahawan dan pengguna tidak menghadapi masalah dengan licensing fee dan produk menerusi platform dalam talian,” katanya lagi.
Sementara itu, mengulas mengenai Program Akses Peruncitan 2026, Fuziah berkata, program itu bukan sahaja membantu usahawan meningkatkan keupayaan perniagaan, malah menyediakan platform untuk menghubungkan usahawan dengan pemain industri melalui latihan pembangunan perniagaan dan padanan perniagaan.
Tambahnya, pendekatan itu penting bagi merapatkan jurang antara kemampuan pengeluaran PMKS dengan keperluan sebenar pasaran, sekali gus membolehkan produk tempatan berkembang daripada perniagaan berskala kecil kepada jenama berdaya saing dan mempunyai capaian pasaran lebih luas.
“Bagi tempoh 2023 hingga Oktober 2026, Program Akses Peruncitan telah membantu sebanyak 552 unit penyimpanan stok dan 103 jenama tempatan menembusi pasar raya serta rangkaian peruncitan utama negara.
“Pencapaian ini merupakan hasil peningkatan keupayaan 1,862 usahawan menerusi 38 siri latihan perniagaan, selain 21 siri padanan perniagaan yang menghimpunkan 889 syarikat PMKS bersama 165 syarikat sektor peruncitan,” katanya lagi.
Fuziah berkata, ia membuktikan bahawa akses kepada pasaran adalah antara faktor penting dalam membantu PMKS mengembangkan perniagaan.
Dalam usaha meningkatkan keyakinan pengguna terhadap produk tempatan pula, katanya, KPDN menggalakkan usahawan memohon logo Barangan Malaysia yang boleh dipohon secara percuma melalui portal rasmi KPDN, tertakluk kepada syarat ditetapkan.





