
KUDAT – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor mengingatkan semua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya mengutamakan kepentingan Sabah dan gabungan itu berbanding kepentingan parti atau individu bagi memastikan kekuatan politik negeri terus terpelihara.
Beliau berkata, kekuatan Sabah untuk mempunyai kuasa tawar-menawar lebih kukuh di peringkat Persekutuan mesti bermula dengan perpaduan dalam GRS sendiri, bukannya dibayangi pertelingkahan, perebutan kedudukan dan ego politik.
“Tidak guna kita memuji kesatuan orang lain, kalau dalam rumah GRS sendiri kita masih bertelagah.
“Kekuatan Sabah sebenarnya bermula di sini, daripada kekuatan kita sendiri,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen GRS 2026 di Dewan Tun Mustapha, di sini, pada Ahad.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, GRS ditubuhkan pada 2020 berlandaskan aspirasi rakyat yang mahukan kekuatan politik tempatan untuk menentukan masa depan negeri sendiri, mempertahankan kepentingan rakyat dan memastikan pentadbiran Sabah kekal stabil.
Katanya, kejayaan GRS menjadi blok terbesar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, November tahun lalu, bukan hasil usaha satu parti atau pemimpin semata-mata, sebaliknya sumbangan bersama semua parti komponen, pimpinan dan ahli gabungan itu.
“Tidak ada parti yang begitu besar sehingga tidak lagi memerlukan rakannya dan tidak ada parti yang terlalu kecil sehingga sumbangannya boleh kita abaikan. Masing-masing mempunyai peranan,” ujarnya.
Hajiji turut merakamkan penghargaan kepada ahli akar umbi yang sanggup berkorban masa, tenaga dan wang sendiri ketika berkempen, termasuk menggunakan kenderaan sendiri serta meninggalkan keluarga demi perjuangan parti.
Katanya, mereka yang tidak dikenali ramai dan jarang mendapat perhatian media itu sebenarnya menjadi asas kekuatan GRS dan pengorbanan mereka tidak boleh dilupakan apabila kemenangan dicapai.
“Orang-orang inilah yang sebenarnya menjadi asas kekuatan GRS. Makanya, jangan sekali-kali kita lupa pada mereka,” jelasnya.
Menjelang pilihan raya akan datang, beliau berkata, perbincangan mengenai calon dan pembahagian kerusi pasti menguji kesetiaan serta semangat setiakawan parti komponen, terutama apabila ada pihak perlu bertolak ansur dan menerima keputusan yang tidak memenuhi kehendak mereka.
Justeru katanya, setiap pemimpin perlu membezakan antara mempertahankan prinsip dengan mempertahankan ego, selain tidak menjadikan kegagalan memperoleh kerusi sebagai alasan untuk merajuk, enggan bekerjasama atau menyerang rakan sendiri.
“Tidak ada calon GRS yang menang seorang diri.
“Di belakang setiap kemenangan ada jentera daripada pelbagai parti.
“Ingatlah, politik sentiasa berubah, hari ini kita mungkin kuat, esok belum tentu,” tegasnya.





