Malaysia tegaskan komitmen pelancongan lestari, kesejahteraan komuniti di GTEF 2026

MACAO – Malaysia menegaskan semula komitmennya untuk membina sektor pelancongan yang lestari dan berdaya tahan demi memelihara warisan semula jadi dan budaya, memperkukuh mata pencarian tempatan serta memberikan manfaat ekonomi yang berpanjangan.

Komitmen tersebut dinyatakan pada Forum Ekonomi Pelancongan Global (GTEF) Ke-12 2026 yang berlangsung di Wilayah Pentadbiran Khas (SAR) Macao dari 16 hingga 17 Oktober.

Mewakili Malaysia di forum berkenaan, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man menekankan bahawa kejayaan sektor pelancongan melangkaui jumlah ketibaan pelawat dan perbelanjaan, sebaliknya diukur menerusi nilai yang dicipta untuk rakyat dan komuniti.

Bertemakan ‘Crisis Resilience Evolution – Building a Tourism Economy for a Shared Future’, forum tersebut berhimpun bersama pemimpin kerajaan, wakil industri dan organisasi antarabangsa bagi menangani cabaran pelancongan global serta membentuk sektor yang lebih berdaya tahan.

Ketika berucap pada panel peringkat menteri ‘The Road to 2027: Building a Resilient Tourism Economy’, Choon Man mengetengahkan pendekatan Malaysia yang menyelaraskan pertumbuhan pelancongan dengan pemuliharaan alam sekitar, pemeliharaan budaya serta peluang ekonomi yang inklusif.

“Berpandukan Dasar Pelancongan Negara 2020-2030 dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), Malaysia terus memajukan pelancongan berasaskan alam semula jadi dan komuniti, di samping pengalaman kebudayaan yang menyediakan peluang pekerjaan, menyokong perniagaan tempatan dan mendalamkan penghargaan terhadap warisan negara,” katanya.

Beliau menambah bahawa kelestarian kekal menjadi teras kepada kempen Visit Malaysia 2026-2027, dengan pemeliharaan alam sekitar dijadikan tanggungjawab bersama antara kerajaan, industri, komuniti dan pelawat.

Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, pelaburan kerajaan dalam pemuliharaan tapak warisan UNESCO dan hutan simpan membantu melindungi aset tersebut untuk generasi akan datang sambil menyokong nilai pelancongan jangka panjang.

Selain itu, kepelbagaian budaya Malaysia turut menyediakan asas kukuh bagi pengalaman pelancongan yang menjana pendapatan dan menggalakkan penyertaan komuniti setempat.

Sebagai contoh, program Pengalaman Homestay Malaysia membuktikan bagaimana pelancongan teraju komuniti mampu menyokong mata pencarian masyarakat luar bandar di samping menawarkan pengalaman budaya autentik kepada pelawat.

Sehingga Ogos 2026, program homestay berkenaan telah merekodkan sebanyak 584,000 kehadiran pelawat dan menjana pendapatan berjumlah RM41.14 juta (USD10.06 juta), sekali gus mencerminkan sumbangan berkesannya kepada ekonomi tempatan.

Beliau memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus berusaha memacu pertumbuhan pelancongan yang mencipta nilai berpanjangan, meluaskan peluang ekonomi dan memastikan komuniti tempatan dapat bersama-sama menikmati kejayaan sektor berkenaan.

Sesi panel tersebut turut disertai oleh Naib Menteri Kebudayaan, Sukan dan Pelancongan Republik Korea Kim Dae-hyun; Ketua Pegawai Eksekutif EXO Travel Group Hamish Keith; dan Ketua Pegawai Eksekutif Shanghai Jinjiang International Hotels Co., Ltd. Mao Xiao.

Ditubuhkan pada tahun 2012, GTEF merupakan platform antarabangsa yang memajukan pembangunan lestari ekonomi pelancongan global dengan menghubungkan China dan komuniti antarabangsa menerusi dialog serta kerjasama.

Menerusi 11 edisi terdahulu, forum ini telah menarik lebih 15,500 delegasi dari 88 negara dan wilayah, serta membariskan lebih 780 penceramah.

Related Posts

Pendidikan keselamatan diri langkah awal lindungi kanak-kanak

LONG LAMA – Pendidikan keselamatan diri sejak peringkat sekolah rendah perlu diperkukuh bagi membantu kanak-kanak mengenali situasi berisiko, memahami batas pergaulan serta mendapatkan bantuan apabila berhadapan ancaman. Pegawai Pendidikan Daerah…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Isu Balai Undang Luak Rembau: Hassan elak pertembungan, bukan mengalah

SEREMBAN – Pentadbiran Undang Luak Rembau menyangkal dakwaan yang mempertikaikan kewibawaan Hassan Ab Hamid dengan menggambarkan penangguhan kemasukan ke Balai Undang Luak Rembau pada Isnin sebagai kegagalan daripada pihak Dato’…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Kesihatan murid keutamaan, pelan tindakan jerebu ditambah baik – PM

Kesihatan murid keutamaan, pelan tindakan jerebu ditambah baik – PM

Nilai ringgit kekal berdaya tahan

Nilai ringgit kekal berdaya tahan

Pendidikan keselamatan diri langkah awal lindungi kanak-kanak

Pendidikan keselamatan diri langkah awal lindungi kanak-kanak

Mustapha tuntut siasatan telus, menyeluruh kematian dua beranak

  • By Fatin
  • October 19, 2026
Mustapha tuntut siasatan telus, menyeluruh kematian dua beranak

Isu Balai Undang Luak Rembau: Hassan elak pertembungan, bukan mengalah

Isu Balai Undang Luak Rembau: Hassan elak pertembungan, bukan mengalah

Teresa Kok menang saman fitnah, Dr Akmal diperintah bayar RM300,000

Teresa Kok menang saman fitnah, Dr Akmal diperintah bayar RM300,000